Sekolah perlu pastikan pengudaraan baik dalam bilik darjah - Radzi Jidin

Astro Awani
September 25, 2021 18:37 MYT
Datuk Radzi Jidin, berkata aspek pengudaraan di dalam kelas adalah antara perkara yang boleh ditambah baik. - Gambar fail
LANGKAWI: Kementerian Pendidikan meminta semua sekolah memastikan pengudaraan yang baik di dalam bilik darjah bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19, menjelang pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka tidak lama lagi.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, yang melakukan tinjauan di beberapa sekolah di Pulau Tuba di sini, hari ini, berkata aspek pengudaraan di dalam kelas adalah antara perkara yang boleh ditambah baik.
"Secara umumnya saya lihat sekolah-sekolah ini telah bersedia untuk menerima kehadiran murid apabila dibuka kelak.
"Ada beberapa perkara yang boleh ditambah baik khususnya dalam konteks pengudaraan di bilik-bilik darjah dan bilik khas di mana poster-poster dan langsir yang tergantung perlu dialihkan bagi memastikan pengudaraan di setiap bilik yang akan digunakan murid ini berada di tahap terbaik.
"Seperti nasihat Kementerian Kesihatan dalam konteks varian Delta, apa yang paling penting adalah pengudaraan, bukan sahaja dalam bilik darjah, bilik khas, pejabat dan seluruh kawasan berbilik di sekolah perlu dipastikan mempunyai pengudaraan yang baik seterusnya dapat mengurangkan risiko jangkitan, terutamanya varian Delta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pembukaan Sekolah | 'KPM berhak pastikan keselamatan murid'
Terdahulu, Radzi meninjau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi Pulau Tuba, Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Chempedak, SK Pulau Tuba dan SK Selat Bagan Nyior yang semuanya teletak di Pulau Tuba.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengoperasian sekolah di Langkawi adalah mengikut negeri dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berikutan pulau itu berada di bawah pelaksanaan inisiatif gelembung pelancongan.
Katanya, selain Langkawi sekolah di Labuan dan Negeri Sembian juga akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka tidak lama lagi dan persediaan sewajarnya perlu dibuat dengan rapi.
#Radzi Jidin #pengudaraan dalam kelas #COVID-19 #pembukaan sekolah
;