Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Kandu terbakar
Dewi Nur Harasha Alias
September 22, 2023 19:52 MYT
September 22, 2023 19:52 MYT
PERMATANG PAUH: Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Kandu di Jalan Permatang Pauh, di sini, mengalami kebakaran dalam kejadian jam 6 petang tadi.
Kebakaran yang berlaku di tingkat tiga bangunan sekolah itu memusnahkan lima buah kelas.
Difahamkan sekolah tersebut mempunyai dua sesi persekolahan iaitu pagi serta petang, dan tiada murid terkesan akibat kejadian berkenaan disebabkan sesi persekolahan sudah tamat.
Menurut Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perai, PBK 11 Abd Manap Kadir, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.02 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba kita mendapati kebakaran berlaku di kawasan berkeluasan 50 x 150 kaki persegi dan api marak di bahagian atas bangunan.
"Tiga buah kelas musnah seratus peratus manakala dua buah kelas musnah 40 peratus.
"Kebakaran telah dapat dikawal pada jam 6.31 petang. Setakat ini, punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya hari ini.
Operasi pemadaman melibatkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Jalan Perak dibantu BBP Penanti, Kepala Batas dan Bayan Baru.