Sekolah jadi PPS atau pusat mengundi? Antara faktor tidak sesuai PRU musim banjir

Madiha Abdullah
September 21, 2022 20:43 MYT
Kata Khairy, terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira, antaranya soal keselamatan rakyat dan tenaga kerja. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) secara lazimnya tidak sesuai diadakan pada musim banjir, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Beliau menegaskan, terdapat banyak faktor perlu diambil kira, antaranya keselamatan rakyat dan tenaga kerja, malah sekolah yang biasanya menjadi pusat mengundi turut digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).
“Lazimnya, kita elakkan pilihan raya pada musim banjir kerana banyak tenaga kerja perlu dikerahkan untuk menjaga kawasan pemindahan sementara dan keselamatan rakyat.
"Pada musim banjir juga, pelbagai kemudahan diperlukan seperti sekolah sebagai pusat pemindahan (PPS)... ia turut digunakan sebagai pusat membuang undi.
“Faktor kesihatan juga perlu diambil kira apabila berlaku banjir iaitu peningkatan penyakit berjangkit kerana bencana itu berisiko ada penyakit bawaan air meningkat,” katanya dalam sidang akhbar, pada Rabu.
Khairy juga memaklumkan, tarikh pilihan raya setakat ini hanya dibincangkan secara umum dan beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk membuat keputusan.
Dalam pada itu, Khairy juga menjelaskan beliau perlu membuat persiapan berkenaan PRU15, terutama dalam memastikan semua perancangan dapat diteruskan selepas beliau tidak lagi menerajui kementerian berkenaan.
"Saya kena biasakan pegawai-pegawai saya kerana dalam tempoh pembubaran Parlimen nanti, semua kementerian akan autopilot. Jadi kita kena bersiap sedia dengan apa sahaja kemungkinan.
"Kalau saya pretend PRU takkan berlaku, pegawai saya pun nanti tidak bersedia," ujarnya.
#PRU15 #Khairy Jamaluddin #banjir #pusat mengundi jadi PPS
;