Sekolah ditutup, pelajar Rumah Panjang Sadin, Batang Igan belajar di ruai rumah
Astro Awani
November 19, 2020 17:10 MYT
November 19, 2020 17:10 MYT
MUKAH: Sebagai usaha memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) di kawasan luar bandar berterusan sepanjang tempoh penutupan sekolah.
Seorang guru dari SMK Rosli Dhoby, Puten Gaong mengambil inisiatif menganjurkan Program Belajar di Ruai khusus bagi pelajar dari Rumah Panjang Sadin, Sungai Rasau di Batang Igan, Mukah.
Menurut Puten, objektif program ini adalah bagi mengisi masa terluang pelajar ekoran penutupan sekolah.
“Kita mengajak mereka untuk belajar bersama-sama di ruai ini sebagai mengisi masa lapang daripada terbuang dan disia-siakan begitu sahaja.
“Seterusnya kita juga ingin memastikan proses pembelajaran mereka ini berterusan sekali gus memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran,” katanya.
Setakat ini, 30 pelajar dari SK Sungai Rasau dan SMK Batang Igan menyertai dalam program ini berbekalkan bahan-bahan pembelajaran dari sekolah masing-masing.
Bagi ibu bapa pelajar terlibat, inisiatif ini mampu meningkatkan semangat anak-anak untuk menimba ilmu walaupun sekolah ditutup.
Menurut Tuai Rumah Sadin Jeli, dia berharap agar semua pelajar terlibat untuk memanfaatkan ilmu yang diperoleh menerusi insiatif ini.
“Ini merupakan satu usaha yang baik dalam menggalakkan anak-anak di kawasan pedalaman untuk terus fokus dalam aspek pendidikan.
“Harapan saya agar mereka terus fokus dan mampu beroleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan yang akan datang,” ujarnya.
Manakala bagi Juti Belon, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan penutupan sekolah bukan alasan untuk pelajar terus lalai dalam aspek pelajaran.
“Program seperti ini sangat bagus terutama ketika tempoh ini (PKPB) kerana ia akan membantu mereka untuk terus fokus kepada cita-cita mereka.
“Saya juga yakin mereka akan memanfaatkan ilmu yang diterima sebaik-baiknya dalam usaha mencapai keputusan yang membanggakan,” tambah Juti.
Program yang berlangsung setiap hari Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 hingga 11 pagi ini bermula pada 16 November lalu dan akan diteruskan sehingga tamat tempoh persekolahan tahun ini.