Sekolah di Sarawak turut dibuka bermula 15 Julai

Syafik Shukri Jalil
Julai 1, 2020 18:17 MYT
Uggah dalam sidang medianya berharap semua pihak bekerjasama agar proses pembelajaran di sekolah nanti berjalan lancar. FOTO: Astro AWANI
Semua sekolah di Sarawak akan dibuka berdasarkan tarikh yang diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin.
Pengumuman dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerusi sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Rabu.
“Kita mencapai keputusan yang sama kerana saya sendiri sudah melawat ke dua sekolah dan pematuhan terhadap garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) diamalkan dengan baik.
“Justeru saya mengharapkan kerjasama semua pihak untuk terus patuh kepada SOP yang telah digariskan demi keselamatan kita bersama,” ujarnya.
Terdahulu Dr Radzi menerusi sidang medianya di Putrajaya pada Rabu mengumumkan, semua sekolah di seluruh negara yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) akan mula dibuka secara berperingkat bermula 15 Julai.
Ini menyaksikan murid tingkatan satu hingga tingkatan empat serta murid kelas Peralihan akan kembali ke sekolah bermula pada hari Rabu, 15 Julai 2020.
Manakala bagi sekolah rendah pula, murid tahun lima dan tahun enam juga akan kembali ke sekolah pada Rabu, 15 Julai 2020 dan tarikh pembukaan semula sekolah bagi murid tahun satu hingga tahun empat adalah pada Rabu, 22 Julai 2020.
Dalam sidang media berkenaan Uggah turut mengumumkan tiada kes baharu positif COVID-19 dicatatkan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah kes positif di negeri itu kekal dengan 571 kes.
Manakala enam kes sembuh dan discaj direkodkan melibatkan lima kes dari Hospital Bintulu dan satu kes dari Hospital Umum Sarawak (HUS) menjadikan jumlah kes sembuh dan discaj meningkat kepada 544 kes atau 95.27 peratus.
#AWANI Sarawak #COVID-19 #Datuk Amar Douglas Uggah Embas #Dr Radzi Jidin #JPBNS #Kuching #Persekutuan #Sarawak #sekolah #SOP
;