Sekolah buka, belanja pula naik
Sinar Harian
Jun 13, 2022 11:15 MYT
Jun 13, 2022 11:15 MYT
SHAH ALAM: Ibu bapa kini terpaksa menanggung sekitar 30 hingga 40 peratus kenaikan bagi perbelanjaan persekolahan anak-anak.
Antara barangan serta perkhidmatan sekolah yang sudah dan dijangka naik ialah bahan-bahan pelajaran seperti alat tulis dan buku-buku nota, makanan di kantin sekolah dan tambang bas.
Berdasarkan tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai buku dan peralatan sekolah di sekitar Lembah Klang, terdapat beberapa barangan sudah mula dinaikkan baru-baru ini.
Kenaikan tersebut merangkumi hampir semua alat tulis termasuk buku latihan dan kertas A4 dengan peningkatan sekitar 50 sen sehingga RM1.
Rata-rata ibu bapa yang mempunyai anak-anak masih bersekolah turut menzahirkan keresahan susulan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih.
Menurut mereka, jika pada tahun sebelum ini perbelanjaan seorang anak yang masih bersekolah ialah sekitar RM300, kini meningkat kepada RM400.
Para peniaga juga mengakui situasi kali ini berbeza berbanding sebelumnya kerana barangan yang sudah bertahun-tahun tidak naik harga juga mengalami kenaikan.
Sementara itu, kadar kenaikan tambang pengangkutan yang dijangka naik bermula Julai ini adalah susulan kos penyelenggaraan dan alat ganti kenderaan yang meningkat secara mendadak.
Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat bagaimanapun memberi jaminan peningkatan tambang bas atau van sekolah adalah minimum dan tidak akan membebankan.
Jelas beliau, kadar peningkatan tambang bas sekolah juga berbeza kerana nilainya berpandukan kawasan dan status masyarakat setempat berikutan kerajaan tidak lagi mengawal harga tambang bas sekolah pada 1 Januari 2015.
Tidak setakat itu, ibu bapa turut berdepan kenaikan harga makanan di kantin sekolah berikutan peningkatan kos barang basah.
Perkara itu turut dikongsi seorang pengusaha kantin dari Ipoh, Perak yang menyifatkan kenaikan barangan keperluan ketika ini sangat ketara dan membebankan.
Dia bagaimanapun mengakui tidak sampai hati untuk menaikkan harga makanan kerana sedar tidak semua ibu bapa mampu untuk memberikan belanja lebih kepada anak-anak.
Peningkatan kos perbelanjaan sekolah kini bukan hanya menjadi kebimbangan masyarakat golongan B40, malah mereka yang berpendapatan kelas pertengahan juga sudah mula merasakan kenaikan kos sara hidup yang mendadak.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.