Sekolah baharu ambil kira aspek reka bentuk kondusif - Radzi

Bernama
September 12, 2022 16:56 MYT
Radzi berkata, KPM mahu sekolah baharu memberi fokus kepada perkara berkaitan infrastruktur asas namun memberi impak besar kepada warganya. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Pembinaan sekolah baharu di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil kira aspek reka bentuk yang kondusif, mudah diselenggara dan memberi impak yang optimum kepada pelajar dan guru, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.
Beliau berkata KPM mahu sekolah-sekolah baharu yang bakal dibina memberi fokus kepada perkara berkaitan infrastruktur asas namun memberi impak besar kepada warganya serta dalam masa yang sama memastikan setiap sen dalam peruntukan yang diberikan kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya.
"Apa yang paling penting reka bentuk ini tidak perlu terlalu banyak kosmetik yang berlebihan. Kita mahu setiap peruntukan digunakan untuk beri impak paling optimum.
Sekiranya kita dapat kurangkan kos-kos yang mana melibatkan kosmetik yang tidak diperlukan, maka peruntukan yang ada dapat kita gunakan untuk pembangunan lain," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Transformasi Pendidikan: Infrastruktur Pendidikan yang Selamat dan Kondusif di sini, hari ini.
Radzi berkata ia termasuk isu reka bentuk tandas sekolah yang sering dibangkitkan kerana kemudahan sedia ada berkonsepkan tandas basah dan tidak mempunyai pengudaraan yang baik menyebabkan ada antara pelajar yang mengelak untuk makan di sekolah supaya tidak perlu ke tandas sepanjang sesi persekolahan.
"Dalam konteks pembangunan baharu ini, bila kita cakap soal transformasi kita juga melihat reka bentuk tandas itu sendiri supaya ada pengudaraan dan lebih cepat kering serta tidak berbau," katanya.
Beliau berkata KPM akan sentiasa berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam menentukan reka bentuk bukan sahaja sekolah-sekolah baharu yang bakal dibina tetapi juga bangunan-bangunan baharu yang akan dibina di sekolah sedia ada.
"Kita turun ke bawah, kita kumpul input yang kita dapat dan kita bincang di peringkat kementerian terlebih dahulu untuk melihat kesesuaian pelaksanaan dan kemudian kita bincang dengan JKR berkaitan dengan reka bentuk untuk projek-projek yang akan dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, Radzi berkata KPM akan menambah baik garis panduan sedia ada berkaitan sumbangan berbentuk pembangunan seperti dewan terbuka dan susur gajah, oleh pihak luar kepada sekolah.
"Dalam konteks ini kita buat kajian yang menyeluruh di mana ada keadaan bila diberikan sumbangan, pembinaannya tidak ikut spesifikasi yang sepatutnya.
"Bila tak ikut spesifikasi sepatutnya, bila berlaku masalah, pihak sekolah akan kembali kepada KPM dan kadang-kadang KPM pun tak tahu ada infrastrukur itu dalam sekolah. Apa yang berlaku bila kita nak baiki, kos baik pulih itu jauh lebih tinggi daripada kos asal infrastruktur itu dibina," katanya.
Radzi berkata garis panduan itu perlu ditambah baik bagi memastikan sumbangan itu memberi impak paling optimum selain memperincikan langkah atau pendekatan dengan setiap sumbangan perlu melalui proses tapisan oleh KPM.
"Kita sedar kadang-kadang penyumbang-penyumbang ini kata prosesnya panjang sangat. Apa yang sedang kita buat di peringkat KPM adalah untuk meneliti keseluruhan proses urusan untuk kita lihat dekat mana kita boleh kurangkan birokrasi yang ada dan dalam masa yang sama segala tatacara pembinaan ini dapat dilaksana dengan baik dan proses itu lebih cepat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Radzi berkata hampir 30 peratus daripada lebih 2,000 sekolah di seluruh negara telah selesai menjalani proses pemutihan ke atas pemilikan tanah.
Beliau berkata proses pemutihan itu perlu dibuat bagi memastikan semua pemilikan tanah bagi pembinaan sekolah seliaan KPM adalah milik Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) atau kerajaan.
Menurutnya, daripada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara, lebih 2,000 daripadanya didapati pemilikan tanah bukan milik JKPTG mahupun kerajaan.
"Apa berlaku ada keadaan di mana sebagai contoh bayaran dibuat tahun 1980-an, tapi geran sampai hari ini masih belum dapat, hak miliknya masih belum tukar. Ia nampak mudah tapi selagi tak selesai perkara ini, esok bila nak buat macam-macam (pembangunan) boleh timbul perkara-perkara lain.
Jadi kami memutuskan yang mana sangkut hak milik termasuk yang bayaran 1980-an dulu, kita selesaikan urusan tanah-tanah ini dengan kerjasama kerajaan negeri supaya perkara ini dapat diselesaikan," katanya.
-- BERNAMA
#bangunan sekolah #reka bentuk #kemudahan #Radzi Jidin
;