Sekolah asrama: Pelajar B40 wajar diutamakan
Hamidi Mookkaiyah
Januari 8, 2019 13:23 MYT
Januari 8, 2019 13:23 MYT
PERMINTAAN untuk menyertai Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sememangnya tinggi.
Berdasarkan maklumat Kementerian Pendidikan sebanyak 77,487 permohonan telah diterima untuk kemasukan tahun persekolahan 2019 iaitu tingkatan satu.
Syabas dan tahniah kerana Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah berani dengan memperuntukkan sebanyak 60 peratus tempat SBP kepada pelajar-pelajar keluarga B40.
Kementerian Pendidikan mahu memberi lebih banyak peluang kepada anak-anak keluarga B40, sama ada dari kawasan luar bandar, miskin kota dan anak-anak anggota beruniform.
Keberanian dan ketegasan kerajaan baharu, khususnya Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ini harus dialu-alukan.
Kita harus menyokong ketegasan mengembalikan semula semangat SBP iaitu untuk membantu pelajar-pelajar berpotensi golongan B40 demi manfaat rakyat Malaysia dalam jangka panjang.
Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk terus membantu golongan yang benar-benar memerlukan. Ini selari dengan dasar Kerajaan untuk terus membantu golongan yang kurang berada untuk memperoleh kemudahan pendidikan berkualiti.
Sebenarnya, rakyat khususnya mereka daripada kalangan kurang berada sudah lama menanti akan satu ketetapan yang lebih tegas bagi memastikan keutamaan kemasukan ke SBP diberikan kepada pelajar-pelajar B40 dan pada masa yang sama tidak melupakan golongan M40. Bukan kepada pelajar daripada golongan berada.
Kita perlu menerima perubahan ke arah baik ini.
Pengalaman-pengalaman lalu menunjukkan ramai pelajar daripada golongan T20 memasuki SBP. Sebab yang membawa kepada senario itu semua orang tahu.
Bagaimanapun kita tidak perlu bercakap mengenai kekurangan dan kelemahan yang disaksikan pada masa-masa lalu.
Tetapi mengambil langkah membina bagi membawa masuk pelajar-pelajar kurang berada ke SBP cukup baik. Sinaran ke arah itu sudah kelihatan di Kementerian Pendidikan.
Langkah ini harus dihargai dan diharap akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
Meskipun sasaran Kementerian Pendidikan adalah untuk menempatkan 60 peratus pelajar SBP daripada kalangan golongan B40, jumlah kemasukan 52.3 peratus atau 4,888 orang merupakan satu pencapaian yang baik.
Ia memberi kelegaan kepada kita. Sekurang-kurangnya perkembangan ini telah membawa kepada peningkatan hampir 60 peratus berbanding tahun 2018.
Komitmen Kementerian Pendidikan untuk terus melaksanakan pendekatan proaktif bagi menambah bilangan pelajar di SBP daripada kalangan golongan B40 pada tahun-tahun akan datang juga sesuatu yang harus disambut baik.
Di sebalik keputusan pengambilan ini, Kementerian Pendidikan dilaporkan turut menerima banyak panggilan rasa tidak puas hati.
Sudah pasti akan ada rasa tidak senang. Ia bukan sesuatu yang luar biasa. Ia situasi normal dan sudah dijangkakan.
Diharap Kementerian Pendidikan akan terus bertegas untuk melaksanakan formula yang memanfaatkan rakyat jelata. Rakyat di belakang Kementerian Pendidikan dalam hal ini.
Para ibu bapa yang anak mereka gagal ke SBP terutama daripada kalangan T20 harus menerima dengan hati terbuka. Kita perlu berlapang dada menerima keputusan kelayakan.
Kejayaan sesuatu permohonan tidak hanya bergantung kepada kelulusan peperiksaan. Sebaliknya, tawaran kemasukan ke SBP turut mengambil kira keputusan Ujian Kemasukan SBP (UKSBP) dan merit Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Psikometrik.
Penawaran ke Tingkatan 1 2019 juga mengambil kira beberapa faktor lain termasuk kapasiti enrolmen sesebuah SBP, jantina dan lokaliti pemohon.
Pendidikan di SBP adalah untuk menyediakan suasana persekoalahn dan pembelajaran yang terancang, terkawal dan sempurna bagi memupuk serta mengembangkan potensi murid yang cemerlang sebagai warganegara seimbang dan bertanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara.
Maka menyambung pelajaran di SBP adalah satu pilihan terbaik buat ramai pelajar. SBP adalah salah satu sekolah yang terbaik di Malaysia.
Oleh itu tidak hairanlah ramai yang berminat, melibatkan pelajar dari semua lapisan masyarakat. Sudah tiba masa bagi kita memberi laluan kepada pelajar B40 dan M40 akses kepada SBP demi masa depan yang lebih baik.
*Hamidi Mookkaiyah, merupakan bekas guru.
**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Dr Maszlee Malik
#Kementerian Pendidikan
#luar bandar
#miskin
#miskin bandar
#pendidikan
#peperiksaan
#Sekolah Berasrama Penuh SBP
#Ujian Kemasukan SBP