Sekolah antarabangsa milik Sarawak pacu pendidikan berkualiti - Abang Johari

Astro Awani
September 28, 2020 14:37 MYT
Pelaksanaan sukatan mata pelajaran berlandaskan kualiti antarabangsa di sekolah-sekolah berkenaan adalah untuk memacu sektor pendidikan yang membolehkan anak-anak Sarawak cemerlang di dalam pasaran global. -Gambar Fail
KUCHING : Pembinaan lima sekolah antarabangsa oleh Kerajaan Negeri Sarawak adalah merupakan tindakan strategik bagi memacu nilai pendidikan bertaraf antarabangsa.
Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, agenda pendidikan sedemikian diatur demi masa depan anak Sarawak di mana pelaksanaannya akan menguna pakai silibus yang diiktiraf di peringkat global.
“Saya percaya pada sistem pendidikan sedia ada tetapi kadang-kadang ia berubah-ubah.
“Apabila terdapatnya menteri baharu dalam Kabinet, polisi akan berubah. Ini antara masalah yang kita hadapi.
“Saya tubuhkan Yayasan Sarawak untuk membina sekolah antarabangsa dan ia adalah berdasarkan kepada silibus antarabangsa yang diiktiraf dunia,” katanya.
Jelas Abang Jo lagi, peranan sekolah-sekolah tersebut amat luas dan signifikan kepada usaha Sarawak untuk melahirkan anak bangsa yang memiliki kepakaran dinamik dan diterima di pasaran luar.
“Mereka yang berbakat harus bersaing dengan individu yang berbakat. Sekiranya mereka berada dalam kelompok yang salah, makai a dapat mempengaruhi cara mereka berfikir.
“Ia secara tidak langsung menjadi sesuatu taraf yang boleh menjadi satu kebiasaan,” ujarnya.
Memberi contoh, kata Abang Jo, sekiranya mereka sudah biasa dengan sistem pendidikan universiti antarabangsa, peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti terkemuka adalah tinggi.
Tambah beliau, sekolah-sekolah antarabangsa yang ditubuhkan ini akan menggunakan sukatan mata pelajaran antarabangsa seperti yang digunakan oleh Cambridge University, England.
Beliau berkata demikian menjawab kepada dakwaan Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong yang menyatakan langkah membenarkan sekolah antarabangsa milik kerajaan negeri adalah bercanggah dengan Akta Pendidikan Malaysia.
Merujuk kepada projek pembinaan lima sekolah menengah antarabangsa seliaan Yayasan Sarawak itu, Teo seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita pada Sabtu berkata pendidikan berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan mengkehendaki Bahasa Melayu digunakan sebagai Bahasa pengantar.
Justeru, penubuhan sekolah antarabangsa ini bercanggah dengan kehendak tersebut.
#AWANI Sarawak #Astro Awani #Sekolah Antarabangsa Sarawak #Ketua Menteri Sarawak #Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg #Cambridge University England #Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia #Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong
;