Sekolah agama, tadika ditutup susulan pencemaran bau

Siti Nur Aqilla Omar
September 3, 2024 15:41 MYT
JBPM Johor dilapor telah mengambil sampel air dan tanah di Sungai Pandan untuk mengenal pasti punca pencemaran bau di tiga kawasan. -Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Tadika Kemas Jalan Masjid dan Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan, di sini, tidak beroperasi pada hari ini setelah pencemaran bau kimia yang kuat dikesan di sekitar kawasan tersebut.

Ringkasan AI
  • Tadika Kemas Jalan Masjid dan Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan ditutup hari ini akibat pencemaran bau kimia yang kuat di kawasan tersebut.
  • Penutupan ini adalah langkah berjaga-jaga setelah perbincangan dengan pasukan siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan pihak bomba untuk mengelakkan masalah kesihatan yang lebih serius.
  • Murid-murid Tadika Kemas telah diminta pulang, dan ibu bapa hadir untuk membawa anak mereka pulang dari Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon berkata, langkah itu diambil sebagai tindakan berjaga-jaga setelah berbincang daripada pasukan siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan pihak bomba yang menjalankan pemeriksaan di kampung itu.
Katanya, langkah itu bagi membendung masalah yang lebih serius yang boleh menjejaskan tahap kesihatan pelajar apabila terdedah dengan bahan tercemar itu.
"Saya telah berbincang dengan wakil penduduk di kawasan ini dan menasihati supaya sekolah agama di sini ditutup pada hari ini.
"Ini kerana kita belum kenal pasti lagi bahan apa yang menyebabkan pencemaran udara itu berlaku.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, adalah lebih baik operasi sekolah agama ini direhatkan pada hari ini sementara menunggu laporan siasatan.
"Manakala murid-murid Tadika Kemas Jalan Masjid yang hadir pagi tadi telah diminta pulang oleh penyelia, ekoran pencemaran bau ini," katanya pada sidang media selepas lawatan di Sungai Pandan dekat Kampung Melayu Pandan, di sini, hari ini.
Tinjauan di lokasi mendapati Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan tidak beroperasi dan ibu bapa hadir untuk membawa anak mereka pulang ke rumah.
Terdahulu, media melaporkan pencemaran bau kimia dikesan di tiga kawasan dekat Taman Mount Austin, Taman Daya dan Taman Istimewa, di sini, pada awal pagi tadi.
BACA: Pencemaran bau kimia dikesan di tiga lokasi di Johor Bahru
Susulan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor telah mengambil sampel air dan tanah di Sungai Pandan untuk mengenal pasti punca pencemaran bau di tiga kawasan tersebut.
Sementara itu, Tian Soon berkata, siasatan awal mendapati sampel tersebut mengandungi bahan kimia yang belum dikenal pasti.
Tambahnya, beliau percaya Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan merupakan lokasi pencemaran berdasarkan bau di sungai tersebut yang lebih kuat berbanding di kawasan lain.
#pencemaran bau #Tadika Kemas Jalan Masjid #Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan #Jabatan Alam Sekitar #Ling Tian Soon