Sekolah Agama JAIS turut ditutup dua hari mulai esok

Bernama
Oktober 4, 2015 22:46 MYT
Semua sekolah agama di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan turut ditutup selama dua hari mulai esok. -Gambar hiasan
Semua sekolah agama di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan turut ditutup selama dua hari mulai esok.
Timbalan Pengarah JAIS, Ahmad Zaki Arsad berkata ia selaras dengan kenyataan Kementerian Pendidikan yang mengarahkan sekolah di seluruh Semenanjung kecuali Kelantan ditutup selama dua hari berikutan jerebu teruk yang melanda.
"Tiada penggantian kelas perlu dilakukan berikutan penutupan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata bagaimanapun pentadbir sekolah perlu bertugas seperti biasa.
Sementara itu Universiti Selangor (UNISEL) akan turut menangguhkan operasinya esok dan akan kembali beroperasi seperti biasa pada Selasa.
Pemangku Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsaan UNISEL, Prof Dr Mokhtar Abdullah berkata keputusan itu dibuat berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Selangor yang semakin meningkat.
"Penutupan operasi melibatkan kedua-dua kampus di Bestari Jaya dan Shah Alam," katanya dan menambah pengumuman mengenai penangguhan pengajian seterusnya akan diumumkan berdasarkan pemantauan IPU dari semasa ke semasa.
Setakat pukul 7 malam ini, Shah Alam mencatatkan bacaan IPU 183, Pelabuhan Klang (180) dan Banting (168).
#Ahmad Zaki Arsad #jasi #jerebu #sekolah tutup
;