Sekitar 20 peratus warga emas kemurungan - Pakar Perubatan

Irfan Faruqi
Mac 16, 2023 07:30 MYT
Faktor kemurungan dalam kalangan warga emas disumbangkan oleh keadaan kesihatan yang merosot dan hilang upaya untuk berdikari. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kemurungan bukan sahaja boleh dihidap oleh golongan remaja dan belia, bahkan kajian menunjukkan warga emas juga terdedah kepada risiko mengalami kemurungan. Ini seterusnya boleh mengakibatkan komplikasi kesihatan dan kehidupan yang lain.
Pakar Perunding Kanan Perubatan Geriatrik, Prof Madya Dr Tan Kit Mun berkata sekitar 20 peratus warga emas di Malaysia mungkin mengalami kemurungan. Antara faktor penyumbangnya ialah kesihatan dan terputus hubungan sosial yang sihat.
“Kemurungan dan kesihatan mental bukan sahaja dalam sesetengah golongan. Ia melibatkan semua golongan rakyat.
"Kita banyak dengar golongan remaja murung, tetapi warga emas juga ada masalah kemurungan.
"Dalam satu kajian di Malaysia lebih kurang 20 peratus mungkin hidap kemurungan dengan tahap dan gejala yang berlainan daripada ringan hingga berat,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru terbitan Astro AWANI yang mengupas tajuk ‘Golongan Tua Paling Murung di Malaysia?’.
Sekitar 20 peratus warga emas kemurungan - Pakar Perubatan
Kit Mun menjelaskan faktor kemurungan dalam kalangan warga emas disumbangkan oleh keadaan kesihatan yang merosot dan hilang upaya untuk berdikari.
Selain itu, kemurungan itu juga boleh berlaku akibat kurangnya interaksi sosial bersama keluarga, jiran tetangga atau sahabat-handai.
“Ia bukan kesalahan seorang sahaja. Maksud saya, satu orang dapat kemurungan bukanlah kerana kesalahan diri sendiri.
"Ia berpunca daripada banyak faktor. Contohnya, warga emas yang ada banyak penyakit kronik, seperti penyakit jantung, strok, parkinson, dementia, arthritis, masalah buah pinggang dan kencing manis lebih risiko untuk dapat kemurungan.
“Kalau duduk sendirian dan keluarga tidak jenguk dan telefon, ada masalah kewangan, kurang interaksi sosial sama ada dengan jiran-jiran atau sahabat juga boleh menyumbang kepada kemurungan.
"Jarang keluar rumah kalau mereka tidak berupaya fizikal.
“Susah jalan kaki sehinggakan tidak boleh beli barang keperluan harian sendiri. Malah terpaksa bergantung kepada orang lain untuk bantu mereka.
"Kalau ahli keluarga tidak tahu perkara ini, kemurungan boleh terjadi,” jelasnya.
Oleh yang demikian, Kit Mun menambah penting untuk kita pastikan semua lapisan masyarakat didedahkan dengan maklumat dan pengetahuan tentang penuaan secara sihat dan apa yang boleh dilakukan oleh golongan bukan warga emas untuk membantu ke arah itu.
#warga emas #Dialog Tiga Penjuru #kesihatan mental #Kemurungan
;