'Sekiranya saya ikut, adakah yang berlaku tidak akan berlaku?' - Anak pramugara MH370
Kohilah Sekaran
Mac 8, 2016 13:12 MYT
Mac 8, 2016 13:12 MYT
Hari ini, genap dua tahun sejak tragedi 8 Mac 2014 apabila pesawat MH370 milik Malaysia Airlines yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang dari radar.
Maira Elizabeth, anak sulung kepada ketua pramugara pesawat Malaysia Airlines MH370, Andrew Nari, yang hilang bersama pesawat berkenaan berkata walaupun dua tahun sudah berlalu namun insiden kehilangan itu masih segar dalam ingatannya.
Menurut Maira, kejadian yang menimpa ayahnya serta pesawat malang MH370 itu akan dijadikan sebagai satu pengajaran untuk menghargai orang tersayang.
Menerusi laman Instagramnya pada lewat malam tadi, Maira mengimpau kembali kenangan bersama ayahnya sebelum beliau berangkat ke lapangan terbang pada malam kejadian.
“Sekitar masa ini, sebelum ayah berangkat, ingatkah lagi ayah berdiri di depan pintu, sambil bertanya jika saya mahu menghantar ayah ke lapangan terbang, tetapi saya menolak kerana terlalu penat?”
“Saya tidak sangka bahawa ia akan menjadi ucapan selamat tinggal yang terakhir. Situasi itu masih segar dalam ingatan saya,” tulis Maira.
Tambah Maira, dia tidak mengetahui berkenaan kehilangan pesawat MH370 sehingga dimaklumkan oleh rakan sekerjanya pada tengah hari (8 Mac 2014) ketika berada di tempat kerja.
"Sekiranya saya ikut… Adakah ayah merasakan apa yang berlaku tidak akan berlaku?
“Atau adakah saya akan diberi peluang untuk menghabiskan masa bersama ayah? Atau ia tetap sama?” soal Maira dalam keraguan.
katanya lagi, perkara yang berlaku di luar jangkaan boleh menjadi perkara yang paling indah dalam kehidupan, tetapi ia juga boleh menjadi kenangan yang paling menyedihkan dalam kehidupan.
“Saya harap saya dapat mengembalikan masa itu tetapi malangnya ia adalah sesuatu yang mustahil.
“Saya hanya boleh berubah kepada seorang insan yang lebih baik serta belajar daripada kesilapan saya,” tulis Maira.
Maira juga teringat akan kata-kata ibunya, agar sentiasa 'mengucapkan selamat tinggal dengan betul kepada ayah atau sesiapa sahaja, kerana anda tidak tahu apa yang bakal terjadi'.