Sekeluarga terkejut ular tedung selar 10kg menyusur masuk rumah

Salim Aziz
Jun 26, 2020 22:38 MYT
Ular tedung selar yang ditangkap itu dibawa balik ke Ibu Pejabat APM untuk tindakan lanjut. - Astro AWANI
Sedang enak menjamu selera, sebuah keluarga terkejut apabila menyedari seekor ular tedung selar di hadapan pintu rumah mereka di Kampung Pinang, Sik, Kedah.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lt (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata pihaknya telah menerima satu laporan berkaitan insiden itu pada jam 1.24 petang pada Jumaat.
Katanya, sejurus menerima laporan, lima anggota bergegas ke lokasi dan masuk ke dalam rumah bagi mencari ular berkenaan yang bersembunyi di dalam sebuah bilik.
Difahamkan, ular seberat 10 kilogram itu dipercayai turut 'panik' berdepan penghuni rumah yang ramai lantas terus menyusur ke salah sebuah bilik.
Anggota APM kemudiannya menemui ular berkenaan yang bersembunyi di bawah timbunan baju dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan ular tersebut.
Ular yang ditangkap itu dibawa balik ke Ibu Pejabat APM untuk tindakan lanjut.
Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati terutama mereka yang tinggal berhampiran kawasan hutan.
#angkatan pertahanan awam #APM #haiwan berbisa #kawasan hutan #Kedah #sik #ular tedung
;