'Sekejap sahaja, paras air naik mendadak'
Astro Awani
Disember 1, 2019 06:34 MYT
Disember 1, 2019 06:34 MYT
Kira-kira 100 penduduk daripada 25 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Padang Kubu di sini selepas hujan lebat berterusan pada Ahad.
Situasi banjir di kawasan itu disifatkan penduduk sebagai paling buruk apabila paras air naik secara mendadak akibat limpahan dari Sungai Tebak.
Menurut mangsa, mereka berpindah ke PPS kira-kira jam 7 petang Ahad.
“Hujan sejak dari pagi, walaupun sekejap, tetapi lebat, mengakibatkan air naik dengan cepat.
“Kami terus berpindah ke dewan. Tak tahu bagaimana keadaan di rumah,” kata seorang peniaga, Azirah Mohd Daud.
Sementara itu, pekerja kilang sawit Mohammad Fazul Shafiq mengakui, keadaan air kelihatan lebih deras kali ini berbanding sebelumnya.
“Kali ini air lebih laju sedikit, berbanding sebelum ini. Dalam masa setengah jam sahaja, air sudah naik. Dan hujan tidak berhenti sejak petang semalam (Sabtu) lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Padang Kubu, Harun Ismail berkata, pihaknya membuat persediaan rapi berikutan jumlah mangsa dijangka meningkat .
“Banjir yang berlaku di sini lebih buruk berbanding sebelum ini. Dalam pukul 12 tengah hari, air naik dengan cepat. Dan kalau melihat kepada keadaan cuaca, memang bertambah buruk,” katanya.
Menurut Harun, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pihak berkuasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
#banjir
#hujan lebat
#Kampung Padang Kubu
#keluarga
#Kemaman
#kerajaan
#limpahan air sungai
#mangsa
#peniaga
#persediaan rapi
#PPS
#pusat pemindahan