Sekatan perjalanan bukan cara tingkatkan bayaran balik PTPTN - Zambry

Bernama
Mac 17, 2025 17:25 MYT
Kerajaan akan mengambil pendekatan holistik dalam menilai faktor kutipan bayaran balik kerana langkah menyekat perjalanan bukan satu-satunya kaedah untuk menggalakkan peminjam melunaskan tunggakan pinjaman mereka. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) belum membuat sebarang keputusan untuk melaksanakan semula sekatan perjalanan terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membuat bayaran balik.

Ringkasan AI
  • Kementerian Pendidikan Tinggi belum membuat keputusan untuk melaksanakan semula sekatan perjalanan terhadap peminjam PTPTN yang gagal membuat bayaran balik, dan akan mengambil pendekatan holistik untuk meningkatkan kutipan bayaran balik.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap KPT dapat membawa perubahan besar dalam dunia pendidikan tinggi negara, termasuk pemantapan tatakelola dan inisiatif reformasi.
  • Perdana Menteri menghadiri Majlis Ihya' Ramadan bersama warga KPT dan mendengar tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan akan mengambil pendekatan holistik dalam menilai faktor kutipan bayaran balik kerana langkah menyekat perjalanan bukan satu-satunya kaedah untuk menggalakkan peminjam melunaskan tunggakan pinjaman mereka.
"Kita tidak hanya meletakkan itu (sekatan sebagai satu-satunya kaedah (tingkat pembayaran). Kita perlu melihat secara keseluruhan apakah faktor yang membolehkan kita tingkatkan kutipan daripada pinjaman.
"Ini termasuk mengadakan kutipan ataupun melalui ejen untuk memaklumkan kepada mereka (peminjam) selain surat peringatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ihya' Ramadan warga KPT bersama Perdana Menteri hari ini.
Sementara itu, Zambry berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan harapan agar KPT muncul sebagai kementerian yang penting untuk membawa perubahan besar dalam dunia pendidikan tinggi negara.
Beliau berkata perkara itu disampaikan Anwar dalam pertemuan dengan pengurusan tertinggi KPT yang membincangkan pelbagai perkara berhubung pemantapan tatakelola, inisiatif reformasi dan pencapaian utama kementerian hari ini.
"Beliau (Anwar) mengharapkan agar transformasi sedang kita lakukan ini benar-benar memberi impak yang besar bukan hanya kepada sudut ekonomi dan pembangunan tetapi juga melibatkan dari segi pembinaan manusia (modal insan) itu sendiri," katanya.
Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama pengurusan KPT sebelum menyertai kira-kira 300 warga kementerian itu mendengar tazkirah Ramadan disampaikan Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim bertajuk "Maqasid Al-Quran dan Masyarakat MADANI".
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Setiausaha KPT Datuk Anesee Ibrahim.
-- BERNAMA
#KPT #PTPTN #sekatan perjalanan #Zambry Abd Kadir
;