Sekatan pergerakan? Tiada pusingan U, kata Muhyiddin
Umavathi Ramayah
Februari 8, 2022 14:43 MYT
Februari 8, 2022 14:43 MYT
PUTRAJAYA: Tidak akan ada pusingan-U dengan pelaksanaan sekatan pergerakan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu memberitahu, pengalaman sebelum ini ketika negara mendepani COVID-19 sudah memadai untuk kerajaan menguruskan situasi semasa.
"Kita tak boleh berpatah balik ... tapi kita kena sentiasa ingat dan patuh pada prosedur operasi standard (SOP)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN kedua di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Muhyiddin mencadangkan agar pelarasan bantuan kewangan dalam bentuk geran dan pinjaman kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana melalui pelbagai agensi pembiaya kerajaan dan sistem perbankan negara dilaksanakan secara sistematik bagi meningkatkan penggunaan sumber yang lebih optimum, bersasar dan berlandaskan keperluan.
Ia katanya, bagi mengelakkan pertindihan dan membolehkan lebih ramai pengusaha yang betul-betul terjejas terus menerima bantuan.
"Pada masa yang sama, MPN mengambil maklum industri pembinaan negara pada masa ini menghadapi isu kenaikan harga bahan binaan, kekurangan pekerja asing dan turut terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Majlis juga mengambil maklum bahawa industri pembinaan amat penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara dalam proses pemulihan negara," katanya.
Justeru beliau menyatakan sokongan kepada cadangan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk penyelesaian segera dan penyelesaian jangka masa panjang bagi isu yang lebih struktural.
Terdahulu, Muhyiddin turut mengumumkan pelantikan Tan Sri Sulaiman Mahbob sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MPN berkuat kuasa 1 Februari lalu.
Katanya, Dr Sulaiman akan mengetuai pasukan penggubalan hala tuju dan strategi Pelan Pemulihan Negara 2.0.