Sekatan Pergerakan Penuh: Penambahbaikan dan 'blind spot' penstabil ekonomi

Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari
Jun 3, 2021 11:04 MYT
Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' dilaksanakan kembali bagi mengekang penularan jangkitan wabak COVID-19. -Gambar fail
PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau total lockdown dilaksanakan kembali bagi mengekang penularan jangkitan wabak COVID-19.
Wujud beberapa penambahbaikan ke atas kaedah pelaksanaan PKP penuh kali ini berbanding yang dilaksanakan pada Mac 2020 lalu.
Penambahbaikan ini secara langsung dan tak langsung mengurangkan kos kepada ekonomi akibat pelaksanaan PKP Penuh.
Berikut dinyatakan tiga penambahbaikan utama yang terkandung dalam Sekatan Pergerakan Penuh kali ini:
1. Kelonggaran pengoperasian sektor-sektor ekonomi
Sekatan Pergerakan Penuh yang lalu memberatkan aspek kesihatan dengan hanya membenarkan sektor-sektor tertentu sahaja untuk beroperasi.
Impak kepada perniagaan dan pekerjaan akibat perlaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh sangat besar dan menuntut sejumlah besar suntikan fiskal langsung dan tak langsung oleh kerajaan.
Belajar daripada pengalaman lalu, Sekatan Pergerakan Penuh kali ini dilihat memberi kelonggaran kepada sektor-sektor pengeluaran barangan dan perkhidmatan asas (essential) dan bukan asas (non-essential) untuk beroperasi.
Pendekatan ini dapat mengurangkan kos kepada ekonomi dan seterusnya tidak membantutkan sepenuhnya keberkesanan usaha-usaha pemulihan ekonomi 2021.
2. Pengoperasian mengambil kira rantaian bekalan industri
Sekatan Pergerakan Penuh lalu lebih memberi tumpuan kepada pengoperasian sektor-sektor pengeluaran barangan dan perkhidmatan asas sahaja tanpa memberi perhatian ke atas rantaian bekalan industri.
Sektor-sektor ekonomi bergantung antara satu sama lain dalam proses pengeluaran barangan dan perkhidmatan.
Jadi, walaupun hanya sektor-sektor pengeluaran barangan dan perkhidmatan asas sahaja yang dibenarkan, input-input atau bahan mentah yang dikeluarkan oleh sektor-sektor bukan barangan dan perkhidmatan asas masih diperlukan.
BACA: Bekalan makanan kekal cukup semasa tempoh PKP, hanya jika...
Kebenaran pengoperasian di sepanjang rantaian bekalan industri pada Sekatan Pergerakan Penuh kali ini dijangka dapat mengurangkan sebahagian besar kos ekonomi dan kesan herotan ke atas pasaran.
3. Pendekatan pengoperasian berasaskan head-count kapasiti pekerja
Pada Sekatan Pergerakan Penuh yang lalu, pembatasan pengoperasian sektor-sektor pengeluaran barangan dan perkhidmatan asas dibuat berasaskan kepada kapasiti pengeluaran iaitu sebanyak 50 peratus.
Walau bagaimanapun pembatasan berasaskan head-count kapasiti lebih baik dalam mengawal pergerakan orang ramai dan lebih efisyen kepada ekonomi.
Ini kaedah yang dilaksanakan dalam Sekatan Pergerakan Penuh kali ini.
Analisis yang dibuat oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA), Perkeso mendapati pendekatan pembatasan head-count memberi kos ekonomi yang lebih rendah berbanding dengan pendekatan pembatasan kapasiti.
Bagi mengimbangi impak kepada ekonomi akibat daripada perlaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh kali ini, kerajaan telah memperkenalkan semula program-program atau instrumen-instrumen penstabil ekonomi khusus untuk pengurusan ekonomi ketika pandemik seperti moratorium pinjaman bank, Program Upah Subsidi (PSU) dan bantuan tunai.
Berdasarkan pengalaman Sekatan Pergerakan Penuh lalu, instrumen-instrumen penstabil ekonomi ini masih perlu ditambah baik bagi mengurangkan blind spot.
Beberapa blind spot berikut adalah contoh yang mengurangkan keterangkuman instrumen-instrumen penstabil ekonomi tadi.
1. Moratorium pinjaman bank
Moratorium ke atas pinjaman bank selama 3 bulan adalah langkah yang amat baik kerana sebahagian besar pendapatan bulanan isirumah dibelanjakan ke atas pembayaran pinjaman atau sewaan kediaman.
Bagi isi rumah yang menyewa kediaman (terutamanya B40 dan M40), mereka tidak dijaminkan mendapat kemudahan ini kerana bergantung kepada sensitiviti dan kedudukan ekonomi pemilik kediaman.
Jika isi rumah yang menyewa perlu terus membuat pembayaran, ini bermakna kemudahan moratorium ini tidak terangkum dan tidak sepenuhnya membantu isirumah yang terkesan.
2. Program pengekalan pekerjaan dan pendapatan
Program Upah Subsidi (PSU) sangat berkesan dalam membantu majikan, pekerja dan mengurangkan kadar pengangguran dalam ekonomi.
PSU berfungsi sebagai subsidi upah untuk majikan mengekalkan pekerjaan (mengelakkan pemberhentian pekerja).
Semasa tempoh PKP penuh dilaksanakan, pekerja bukan sahaja terdedah kepada risiko pemberhentian kerja malah pengurangan pendapatan akibat daripada pengiliran jadual kerja, pemotongan sebahagian gaji, pemberian cuti tanpa gaji dan pengurangan elaun.
Dalam hal ini, PSU mempunyai had yang hanya terarah kepada aspek pengekalan pekerjaan.

Prof Madya. Dr Mohd Yusof Saari ialah Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS, Perkeso.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI
#PKP #COVID-19 #total lockdown #pandemik #perintah kawalan pergerakan #Kolumnis AWANI #sekatan pergerakan penuh #Pelaksanaan PKP #ekonomi
;