Sekatan pergerakan penuh adalah perlu, perkenal lebih banyak pakej rangsangan - MEF

Bernama
Mei 29, 2021 18:47 MYT
Dr Syed Hussain berkata sekatan pergerakan penuh akan menyukarkan kebanyakan majikan, khususnya perusahaan mikro. - Gambar fail/MEF
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh merupakan sesuatu yang sukar bagi para majikan namun ia perlu dilakukan untuk mengurangkan aliran jangkitan harian COVID-19 yang mencecah 8,290 kes pada Jumaat, kata Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.
Beliau berkata sekatan pergerakan penuh akan menyukarkan kebanyakan majikan, khususnya perusahaan mikro yang lazimnya tidak termasuk dalam kategori sektor ekonomi dan perkhidmatan penting.
"Berasaskan kerugian yang dijangkakan kira-kira RM2.4 bilion sehari seperti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, kerajaan perlu memperkenalkan lebih banyak pakej rangsangan termasuk subsidi upah dan bantuan kewangan kepada perniagaan dan individu untuk mengekalkan operasi mereka dalam tempoh mencabar ini.
"Moratorium pinjaman automatik juga mesti diperkenalkan semula agar perniagaan dan individu dapat bertahan dan mampu meneruskan operasi mereka," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata keputusan kerajaan untuk mencapai keseimbangan baik di antara menyelamatkan nyawa dengan pendapatan rakyat telah beralih kepada sekatan pergerakan penuh terhadap semua kegiatan ekonomi dan sosial -- kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan penting -- mulai 1 hingga 14 Jun berikutan kenaikan kes harian yang amat membimbangkan.
Senarai sektor ekonomi dan perkhidmatan penting yang akan dibenarkan beroperasi semasa tempoh sekatan pergerakan penuh akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Syed Hussain berkata berdasarkan pengajaran daripada PKP yang lepas, MEF berharap tidak berlaku kekeliruan mengenai sektor ekonomi mana yang akan dibenarkan untuk terus beroperasi dan jumlah pekerja yang dapat hadir di tempat kerja semasa sekatan pergerakan penuh.
Beliau berkata yang diperlukan sekarang adalah pelaksanaan pantas dalam peranan secara kolektif untuk menggunakan semua sumber dalam kerajaan dan sektor swasta bagi mencapai imuniti kelompok.
"Kita tidak dapat mengekang COVID-19 jika kita tidak bergerak bersama-sama dan bekerja secara berpasukan. Menerusi pemberian vaksin secara besar-besaran dan pengaturan kendiri, kita akan menangani pandemik ini.
"Kita perlu melakukan tindakan itu pada masa ini. Kita tidak mempunyai pilihan lain. Kita jaga kita," katanya.
Hubungi sekretariat MEF di talian 03-7955 7778 atau faks 03-7955 9008 atau e-mel ke mef-hq@mef.org.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.
-- BERNAMA
#ekonomi #COVID-19 #vaksin #jangkitan #PKP #majikan #MEF #sekatan pergerakan #total lockdown #Syed Hussain Syed Husman
;