Sekatan Pergerakan: Penduduk di 13 rumah panjang di Kapit dan Song akan terima bantuan
Nickyson Nyambar
Januari 17, 2021 18:14 MYT
Januari 17, 2021 18:14 MYT
KUALA LUMPUR : Bantuan sewajarnya akan disalurkan buat penduduk rumah panjang yang terjejas akibat perintah sekatan pergerakan yang dikenakan di Kapit sejak 3 Januari lalu.
Menurut Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, beliau akan berhubung terus dengan wakil di Pejabat Parlimen Kapit bagi mendapatkan maklumat berkenaan bantuan yang diperlukan oleh penduduk ketika ini.
"Saya sedang berbincang tentang bantuan yang boleh disampaikan kepada penduduk yang terjejas.
"Wakil saya di Pejabat Parlimen Kapit akan sentiasa memaklumkan dan mengemas kini informasi dan bantuan yang boleh disalurkan," ujarnya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Ahad.
Beliau yang merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut memaklumkan akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat bagi memastikan keselamatan penduduk di Kapit terus terjamin.
"Saya memandang serius penularan jangkitan COVID-19 di kawasan saya. Pejabat wakil rakyat Parlimen Kapit dan ADUN Bukit Goram akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan penularan wabak COVID-19 berjaya dikekang sepenuhnya," tambah beliau.
Jelas kenyataan itu lagi, secara keseluruhannya, sebanyak 149 buah pintu rumah dari 13 rumah panjang di Kapit dan Song terlibat dalam perintah sekatan pergerakan yang dikenakan bermula 3 Januari sehingga 16 Januari.
Ia dikenakan susulan kekhuatiran penduduk di daerah tersebut menjadi kontak rapat kepada kes positif yang dilaporkan di Sarawak sebelum ini.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi arahan pihak berkuasa dalam usaha melandaikan lekuk jangkitan COVID-19 dalam negara.
"Perkara paling penting adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mengamalkan norma baharu terutama membabitkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, sanitasi tangan dan mengelakkan perhimpunan ramai.
"Saya yakin, jika kita dapat mendidik serta mengawal diri dan keluarga masing-masing, kita akan berjaya mengekang penularan wabak ini di Kapit dan seterusnya Malaysia secara keseluruhan," katanya.
#Penduduk Kapit terjejas diberi bantuan
#sekatan pergerakan
#Bendung penularan COVID-19
#pandemik
#Ahli Parlimen Kapit
#Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna
#KPDNHEP
#Datuk Seri Alexander Nanta Linggi