Sekatan Penuh: Mangsa kebakaran resah, masih tiada rumah
Radhi Muslim
Mei 30, 2021 08:44 MYT
Mei 30, 2021 08:44 MYT
SANDAKAN: Mangsa kebakaran rumah di Kampung Sundang Laut pada bulan lalu meluahkan kebimbangan ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau 'total lockdown' pada Selasa ini.
Kerisauan itu timbul susulan ketiadaan tempat tinggal yang selesa selepas rumah mereka musnah terbakar.
Kebanyakan mereka tidak mampu menyewa rumah dan kekurangan dana untuk membina semula rumah mereka.
Kini, mereka terpaksa hidup dalam sebuah khemah di sebuah dewan terbuka kampung berkenaan.
Menurut seorang pengawal keselamatan, Zis Maing, masalah yang timbul adalah ketika ribut melanda kawasan tersebut.
"Masalah kami di dewan ini adalah apabila ribut melanda kawasan ini. Kami di sini akan turut basah kerana keadaan dewan ini yang tiada dinding, hanya bumbung sahaja.
"Namun kami tetap bersyukur kerana ditempatkan di sini dan bukan di luar sana," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Ahad.
Sementara itu, isterinya Jumatiah Jubahil berkata, perkara yang membimbangkannya adalah ketiadaan tandas di dewan berkenaan dan mereka terpaksa menumpang di rumah orang lain di kawasan berdekatan.
"Yang kami paling risau adalah ketiadaan tandas yang memaksa kami menumpang di rumah jiran," katanya.
Selain itu mereka tidak mempunyai tempat masak yang sesuai untuk memenuhi keperluan harian mereka.
Sementara itu, seorang lagi mangsa kebakaran menggunakan wang ehsan kira-kira RM1,600 yang diperolehi hasil sumbangan pemimpin dan kerajaan sebelum ini untuk membina pondok.
Namun ia tidak dapat disiapkan sepenuhnya kerana kekurangan wang.
Justeru, dia berharap pihak berkaitan dapat membantu membina semula rumah mereka.
Pada 21 April lalu lebih 50 buah rumah di kampung itu hangus terbakar menyebabkan lebih 300 penduduk hilang tempat tinggal.