Sekatan ke atas Sarawak Report langgar kebebasan ekspresi - CENBET
Astro Awani
Julai 20, 2015 18:54 MYT
Julai 20, 2015 18:54 MYT
Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat akses ke portal berita Sarawak Report perlu dipertimbangkan semula kerana ia melanggar kebebasan berekspresi.
Kenyatan media daripada pertubuhan bukan kerajaan, Centre For A Better Tomorrow (CENBET) itu menyatakan kebimbangan mengenai kemungkinan prinsip tersebut membuatkan lebih banyak laman web dan portal berita dalam talian bakal disekat.
"SKMM telah menyekat akses kepada laman web berkenaan walaupun pendakwaan peringkat tinggi berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih berjalan.
"Perkara ini memberi gambaran yang kurang sihat dari aspek akses digital dalam jangka masa panjang," ujar kenyataan itu.
Menurut CENBET, penapisan kandungan media cetak atau dalam talian sepatutnya diiringi proses perundangan dan digunakan bagi menangani isu pornografi, perjudian ataupun kata-kata yang menyebarkan kebencian.
"Sebaliknya, akses Internet bagi laporan yang sekadar memberi ancaman kepada pihak yang memegang kuasa sepatutnya tidak disekat oleh SKMM," ujar kenyataan itu.
SKMM juga didakwa meminggirkan prinsip ‘tiada penapisan dalam talian’ yang termaktub dalam Akta Jaminan Koridor Raya Multimedia.
Tambah kenyataan itu, SKMM perlu memberi alasan kukuh bagi menjelaskan bahawa sekatan akses Sarawak Report boleh memastikan keamanan dan keselamatan.
"Pada hakikatnya, sekatan tersebut hanya akan meningkatkan rasa ingin tahu pengguna internet Malaysia yang akan membaca laporan Sarawak Report melalui pelbagai saluran lain."