Sekatan ke atas Rusia beri implikasi buruk kepada pasaran minyak
Bernama
Mac 7, 2022 13:16 MYT
Mac 7, 2022 13:16 MYT
KUALA LUMPUR: Sekatan ke atas Rusia akan memberi implikasi buruk kepada pasaran minyak kerana negara itu menguasai lebih 10 peratus daripada bekalan minyak global.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata Rizab Petroleum Strategik (SPR) yang diselaraskan oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, serta kemungkinan besar perjanjian nuklear AS-Iran akan mengurangkan peningkatan dalam jangka pendek.
"Itu bukan penyelesaian jangka panjang kepada pasaran. Iran adalah penggalak sentimen untuk jangka pendek dan bukan jawapan kepada ketidakpadanan permintaan-penawaran. Ia kemungkinan menghadapi kesukaran untuk menyediakan pengeluaran tambahan berikutan kekurangan pelaburan yang teruk akibat sekatan pada masa lalu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Laporan itu turut menyatakan AS dan sekutu Eropahnya sedang meninjau kemungkinan pengharaman import minyak Rusia.
Harga minyak mentah kini berada pada paras tertinggi sejak 2008, mencecah AS$139 setong untuk seketika.
Maybank IB berkata landskap geopolitik yang semakin meningkat seperti krisis Rusia-Ukraine akan memburukkan lagi keadaan dan ini akan menyaksikan harga minyak berada pada paras yang lebih tinggi dan tidak menentu.
Ketika ini, harga minyak telah mengurangkan kenaikan dengan minyak mentah Brent berada pada AS$128.20 setong, manakala West Texas Intermediate pada AS$124.20 setong.
Harga minyak mentah (Brent) melepasi paras AS$100 setong pada Februari 2022 dan mencapai paras tertinggi AS$124 setong baru-baru ini kepada purata AS$93 setong sejak awal tahun sehingga kini.
-- BERNAMA