Sekatan jalan raya: Tindakan terhadap ketua polis negeri jika anggota tidak tangkas - KPN
Astro Awani
Mac 11, 2021 17:12 MYT
Mac 11, 2021 17:12 MYT
KUALA LUMPUR: Bukit Aman memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap ketua polis negeri jika ada anggota mereka didapati gagal menjalankan tugas dengan baik ketika sekatan jalan raya (SJR).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata SJR penting dalam memastikan pasukan itu dapat mengawal aktiviti rentas sempadan, justeru ia tidak boleh dipandang mudah.
Katanya, amaran itu dikeluarkan susulan aduan diterima pihaknya mengenai segelintir anggota didakwa mengambil ringan tanggungjawab berkawal pada SJR termasuk di sempadan negeri.
"Saya telah keluarkan arahan, jadi saya akan ambil tindakan tegas terhadap CPO (ketua polis negeri) di negeri yang berlaku keadaan anggota polis tidak berkawal di SJR, sebaliknya, petugas-petugas duduk berehat.
"Waktu solat memang diizinkan solat. Tapi ambil giliran, buat penggiliran di setiap SJR. Pada waktu puncak pula termasuk waktu pagi, semua anggota perlu membuat kawalan dan pemeriksaan supaya dapat mempercepatkan laluan kenderaan.
"Ketika bukan waktu puncak, mungkin sebahagian daripada petugas boleh duduk berehat (bergilir-gilir)," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, pemeriksaan kenderaan di SJR di seluruh negara akan diperketatkan bagi mengelakkan kegiatan rentas negeri tanpa kebenaran.
"Saya tak mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipersalahkan dan tak sanggup lihat sekali wujud kluster rentas negeri seperti sebelum ini," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun jumlah kes harian COVID-19 dilaporkan menurun, namun orang ramai tidak boleh mengambil ringan bahaya pandemik itu.
Jelasnya, penurunan jumlah kes COVID-19 adalah bukti kerja keras dilakukan petugas barisan hadapan dengan kerjasama orang ramai dan ia boleh kembali meningkat jika ada pihak tidak mengambil berat mengenai SOP ditetapkan kerajaan.
#Bukit Aman
#Sekatan Jalan Raya
#Ketua Polis Negara
#Abdul Hamid Bador
#amaran
#Ketua Polis Negeri
#tindakan
#anggota culas
#berehat
#pandang ringan