Sekatan ekonomi, undang-undang, politik: Tiga cara untuk menekan Israel
Astro Awani
Mei 19, 2021 15:13 MYT
Mei 19, 2021 15:13 MYT
KUALA LUMPUR: Sekatan ekonomi, tindakan perundangan dan politik dalaman.
Demikian tiga pendekatan yang perlu dilakukan bagi menekan rejim Zionis yang sejak dari dulu tidak pernah berhenti menyerang Gaza, kata peguam Adzly Manas.
Menurutnya, meskipun tugas itu tidak mudah namun ia bukanlah mustahil untuk membuat Israel tunduk dengan tekanan daripada negara lain.
Dari aspek perundangan, meskipun Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mungkin tidak dapat mengambil tindakan kepada Israel, namun kes tersebut boleh dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Jelasnya, ICJ berperanan untuk menyelesaikan pertikaian antara dua negara seperti yang pernah berlaku kepada Malaysia dan Singapura sebelum ini melibatkan Pulau Batu Putih.
“ICJ boleh buka satu prosiding yang bicarakan kes pertikaian dua negara. Isu di Palestin bukan saja isu keganasan dan hak asasi manusia malah isu tanah dan persempadanan.
“Ini yang sentiasa berlaku dari dulu, tak selesai hingga sekarang,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Rabu.
Mengulas dari sudut ekonomi, Adzly berkata, sokongan politik yang kuat dari pelbagai negara perlu ada untuk memastikan sekatan dapat benar-benar memberi kesan kepada Israel.
“Nampak dari sudut ekonomi, kalau buat sekarang, perlu ada political will dan sokongan satu dunia untuk pastikan ini (sekatan ekonomi) berlaku.
“Kita buat satu sekatan ekonomi yang mana (beri kesan kepada) produk-produk Israel.
“Israel mempunyai ekonomi yang besar, rakan dagangan mereka yang utama adalah Amerika Syarikat dan jangan terkejut kalau Turki pun sama (ada hubungan ekonomi) yang mempunyai 4.9 peratus daripada jumlah eksport dan import,” ujarnya.
Aspek politik pula, beliau berkata politik dalaman Israel tidak begitu ampuh sekarang bahkan ada ahli Parlimen konsisten menyuarakan bantahan kekejaman Zionis kepada Palestin.
Justeru, Adzly mencadangkan pentadbir di Gaza dan Tebing Barat untuk bersatu bagi memastikan suara mereka didengari.
#Gaza
#Palestin
#Israel
#Zionis
#keganasan
#kejam
#ganas
#Amerika Syarikat
#AS
#undang-undang
#rejim Zionis
#jenayah
#politik
#ekonomi