Sekatan DNS: Kerajaan tiada niat sekat kebebasan bersuara - Fahmi

Khalis Khadir
September 6, 2024 20:53 MYT
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberitahu tindakan sedemikian bagi mengelakkan laman web berbahaya terus berleluasa. - Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan tidak menyekat kebebasan bersuara apabila mewajibkan semua penyedia perkhidmatan internet (ISP) menggunakan pengalihan perkhidmatan nama domain awam (DNS) menjelang akhir bulan ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, rasional sekatan itu dibuat untuk menghalang akses ke laman web berbahaya terutama melibatkan pornografi dan perjudian dalam talian.
“Kita perlu tahu puncanya apabila pihak MCMC mengenakan sekatan terhadap sejumlah laman web termasuk laman web pornografi dan web judi dalam talian yang terlalu banyak.
“Apa yang kita dapati, ada beberapa pengendali servis internet yang masih membolehkan orang ramai mengakses web terbabit,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kita FM dan Dana Pencipta SYOK, di sini, pada Jumaat.
Katanya, jika ada pengendali laman web yang mendapati laman mereka disekat secara salah boleh membuat rayuan kepada tribunal bebas yang beroperasi di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang dipengerusikan seorang hakim Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan kerajaan tidak berhasrat mengenakan sebarang sekatan atau merangka dasar membabitkan pencipta kandungan audio siar atau podcast.
Jelasnya, jika terdapat kandungan yang menimbulkan kegusaran awam, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada.
"Sebagai pengguna, kita mungkin merasakan terdapat lambakan kandungan, ia secara semula jadi disebabkan oleh kuasa pasaran, orang akan mendengar kandungan yang mereka minati.
“Buat masa ini, kita tidak akan campur tangan dan saya tidak melihat hal ini sebagai satu masalah. Kita tidak berhasrat melakukan sekatan terhadap mereka kerana peraturan sedia ada dianggap sudah mencukupi,” ujarnya.
Rentetan itu, Fahmi menyarankan mereka yang ingin terlibat dalam bidang audio siar perlu memastikan kandungan yang dimuat naik mempunyai nilai intelektual agar ia mendorong kerajaan untuk terus membantu mereka pada masa akan datang.
#Fahmi Fadzil #DNS #isp #MCMC
;