Sekat import sawit: Harap AS akan terima penerangan diberikan FGV - Mustapa
Astro Awani
Oktober 4, 2020 22:00 MYT
Oktober 4, 2020 22:00 MYT
LARKIN: Kerajaan berharap Amerika Syarikat (AS) menerima penjelasan yang akan diberikan oleh Malaysia berhubung isu FGV.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tindakan AS itu bukan kali pertama malah sebelum ini pernah terjadi dalam sektor pembuatan.
Katanya penyelesaian masalah terbabit pada ketika itu dapat dicapai setelah penerangan dibuat.
"Ini bukan kali pertama dalam sektor pembuatan juga dibangkitkan dan kita berikan penerangan, kemudian masalah diselesaikan.
“Kita harap penerangan yang diberikan pihak berkenaan, (AS) akan terima penjelasan kita dan dapat menerima kemasukan kelapa sawit semula ke dalam negara itu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di umah pangsa Larkin, di sini hari ini.
Menurut Mustapa, di peringkat FGV, penjelasan berhubung dakwaan itu telah diberi dengan menekankan bahawa isu berkenaan tidak berbangkit.
Katanya isu ini sudah pasti menimbulkan kebimbangan kerana produk sawit merupakan sektor besar dalam negara yang turut melibatkan ramai golongan pekebun kecil.
Sebelum ini, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (SBP) Amerika Syarikat menahan minyak sawit dan produk komoditi itu yang dihasilkan FGV Holdings Berhad, anak syarikatnya dan sebarang usaha sama dengan syarikat itu di semua pintu masuk negara itu, berkuat kuasa 30 September lalu.
#Mustapa Mohamed
#AS
#FGV
#Media
#Perdana Menteri
#ekonomi
#Amerika Syarikat
#kerajaan
#minyak
#kastam
#menteri
#rumah
#Malaysia