"Sekarang bukan tempoh berbulan madu, Exco baharu perlu fokus tunaikan janji" - Sultan Johor

Muhammad Aiman Hakeem
Mac 26, 2022 12:40 MYT
Baginda bertitah, barisan Exco perlu kekal fokus dalam melaksanakan janji-janji atau ikhtiar yang telah dibuat dalam kempen pilihan raya. - Foto ihsan Royal Press Office
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) yang baharu bahawa tugas mereka sudah pun bermula dari saat mengangkat sumpah jawatan pada hari ini.
Baginda bertitah, barisan Exco perlu kekal fokus dalam melaksanakan janji-janji atau ikhtiar yang telah dibuat dalam kempen pilihan raya mengikut portfolio masing-masing, dan sentiasa bertanggungjawab, jujur dan amanah.
“Jalankan tanggungjawab dengan penuh amanah. Tugas anda sudah pun bermula dari saat ini. Kepentingan negeri dan rakyat mesti diutamakan. Bekerjasamalah dengan semua pihak.
“Jangan lupa anda juga adalah wakil rakyat di kawasan masing-masing. Rajin-rajinlah balik dan bertemu mereka, bukan hanya muncul masa kempen atau terlalu selesa di pejabat sahaja. Ini bukan lagi masa ‘berbulan madu’.
“Masa kempen kamu telah berjanji kepada mereka, sekarang inilah masa untuk tunaikan sebaiknya, bekerja dengan penuh dedikasi. Saya akan sentiasa memantau prestasi semua Exco-Exco.
“Semua Exco sudah diberikan portfolio masing-masing. Jalankan tugas anda dengan sebaiknya jika tidak mahu diganti oleh calon lain,” titah Baginda menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Sabtu.
#Sultan Johor #Sultan Ibrahim Sultan Iskandar #masjis angkat sumpah #Exco
;