Sekampit beras 5 kg dijual RM5 untuk bantu golongan memerlukan
Faida Rahim
Februari 3, 2024 10:30 MYT
Februari 3, 2024 10:30 MYT
AMPANG: Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin menganjurkan program Kembara Beras Amal dengan mengadakan jualan beras Super Import lima kilogram (kg) pada harga RM5 sahaja.
Pengerusinya, Mohd Rizal Othman memaklumkan, inisiatif yang dilakukan itu adalah untuk membantu orang ramai dari semua golongan peringkat untuk mendapatkan bekalan beras dengan harga mesra poket.
Tambahnya, dianggarkan seramai 400 warga Ampang sudah menunggu sejak awal pagi untuk beratur bagi mendapatkan beras di pekarangan tempat letak kereta Pasar Muhibah, Taman Nirwana, di sini, pagi ini.
"Ini merupakan siri ke-33 kami anjurkan program ini. Setiap kali kami bawa keluar kampit beras dari van, orang ramai sudah berpusu beratur untuk membeli.
"Saya percaya dengan kenaikan kos sara hidup yang meningkat ketika ini, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk membelinya. Beras gred super Import yang kami bawa hari ini harga asalnya adalah RM21 tetapi pihak kami hanya menjual dengan harga RM5 sahaja. Orang ramai boleh beli beras dengan potongan harga RM16, memang banyak beza," katanya kepada Astro AWANI.
Tambah Rizal, program ini turut mendapat kerjasama Yayasan VFive dengan beberapa syarat ditetapkan.
Antara syaratnya ialah, pembeli perlu beratur di lokasi pada waktu ditetapkan, menyediakan wang kertas RM5 manakala jualan hanya terhad sekampit beras untuk sebuah keluarga sahaja.
Sementara itu, Rizal turut menjemput orang ramai untuk hadir ke Program Free Market Ramadan Raya pada 9 Mac depan bertempat di Padang MPAJ Pandan Indah.
"Kami juga mengalu-alukan sumbangan barangan Preloved seperti baju, seluar, baju Melayu, baju Kurung dan aksesori Hari Raya yang sesuai untuk disumbangkan kepada golongan yang memerlukan memandangkan Ramadan akan menjelma seterusnya kita akan sambut Syawal tidak lama lagi.
"Kami menyasarkan untuk menyerahkan barang bantuan kepada 500 keluarga berpendapatan rendah dan asnaf dari sekitar Kampung Pandan, Pandan Indah dan Kampung Cheras Bharu," katanya.
Dalam masa sama, Rizal mempelawa pembabitan badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk turut serta dalam program amal yang dianjurkan pihaknya di masa akan datang dengan menghubungi talian 016-202 3896.