Sejuta rumah mampu milik: Pakatan Harapan tekad lunaskan janji - Tun Mahathir
Harits Asyraf Hasnan
Februari 17, 2019 16:00 MYT
Februari 17, 2019 16:00 MYT
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan dan berusaha melunaskan janju untuk membina sejuta unit rumah mampu milik dan rumah murah dalam masa 10 tahun.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata komitmen itu akan dikotakan demi membantu golongan kurang berkemampuan terutama kumpulan B40 menerusi kerjasama pihak swasta.
"Kerajaan tak mampu dirikan sejuta rumah dalam masa 10 tahun, perlu kerjasama dengan swasta. Hari ini kita lihat banyak pihak swasta sambut baik rancangan kita ini termasuk dalam susunan komuniti bagi memastikan ada perusahaan ditempatkan di kawasan komuniti yang akan dibina.
"Kita harap dengan adanya komuniti tersusun dan dilengkapi kelab yang boleh menjadi perantara untuk menyampaikan masalah penduduk setempat kepada wakil rakyat serta dilengkapi bengkel bagi membolehkan mereka terlibat dengan perniagaan, akan memajukan ekonomi komuniti setempat, " katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau sebelum itu melancarkan Dasar Komuniti Negara yang digubal Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menangani isu sosial perumahan di peringkat komuniti setempat, khususnya di kawasan berstrata kos rendah di seluruh negara.
Tambah beliau, dasar itu juga menggalakkan penduduk di komuniti berkenaan terlibat dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan aspek pemasaran yang lebih tersusun.
"Kita mahu komuniti yang lebih tersusun dan lebih baik, itu hasrat kerajaan dan ramai pihak swasta yang sambut baik hasrat ini.
"Hasrat kita bina sejuta unit dalam 10 tahun mungkin ada lebih atau kurang (sasaran 100,000 rumah dibina dalam setahun) namun kita harap dalam 10 tahun, kita boleh bina ikut sasaran," jelasnya.
Harga bagi seunit rumah mampu milik ialah di bawah RM300,000 dan ditetapkan mengikut lokaliti.
#janji
#Mahathir Mohamad
#Manifesto Pakatan Harapan
#Pakatan Harapan
#Perdana Menteri
#rumah mampu milik
#rumah murah