Sejuta rakyat Malaysia lengkapkan pembelajaran kendiri program 'AI untuk Rakyat' dalam tempoh singkat
Bernama
Jun 6, 2024 08:00 MYT
Jun 6, 2024 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Sejuta rakyat Malaysia telah berjaya melengkapkan program 'AI untuk Rakyat' menerusi inisiatif pembelajaran kendiri secara online dalam tempoh yang singkat.
Pencapaian ini berjaya diraih dalam tempoh kurang enam bulan selepas pelancarannya sekali gus melepasi matlamat awal untuk mencapai jumlah sejuta orang dalam masa setahun.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata perkara itu mencerminkan keghairahan rakyat Malaysia untuk menerima literasi digital dan pendidikan Kecerdasan Buatan (AI).
"Pencapaian ini membuktikan komitmen kolektif kita ke arah membina masyarakat yang inklusif secara digital serta menyediakan rakyat peluang dan cabaran masa depan dengan minda yang mengutamakan digital.
"Sambutan luar biasa terhadap program ini juga menandakan peralihan yang ketara ke arah penduduk lebih mahir dari segi teknologi, meletakkan asas bagi Malaysia untuk pesat berkembang dalam era digital.
"Pencapaian ini tidak mungkin dicapai tanpa usaha yang dedikasi beberapa organisasi utama. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memastikan bahawa 100 peratus kakitangannya melengkapkan program ini. Kementerian Pendidikan pula memberikan sokongan penuh dan menggalakkan penglibatan yang meluas," menurutnya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata entiti termasuk Methodist Girl School, Jabatan Kor Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Kementerian Kewangan telah menganjurkan sesi taklimat, menyediakan maklum balas yang baik serta memupuk kesedaran yang lebih baik mengenai AI.
"AI untuk Rakyat bertujuan memupuk minat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) khususnya AI. Program itu berharap dapat mencetuskan minat terhadap mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) khususnya dalam kursus berkaitan AI dalam kalangan pelajar bagi melahirkan bakat masa depan untuk negara.
"Bagi menggalakkan lagi penyertaan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), menerusi Pusat Sains Negara (PSN), menawarkan kemasukan percuma untuk penerima lencana hingga 31 Dis ini.
"Program ini adalah inisiatif penting kerajaan bagi menambah baik kesedaran mengenai AI dan berpotensi menghapuskan salah tanggapan umum mengenai AI.
"Semua digalakkan mengambil bahagian bagi meningkatkan literasi AI mereka di www.ai.gov.my," katanya.
Justeru itu, beliau berkata inisiatif literasi AI akan berkembang untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran digital yang penting.
"Melalui usaha dan kerjasama yang berterusan dengan sektor awam dan swasta, kami menyasarkan untuk memperkasa individu dan menyokong perjalanan negara ke arah Malaysia yang dipacu secara digital, berpendapatan tinggi dan menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital," katanya.
Program AI untuk Rakyat yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Jan lepas menggariskan dedikasi kerajaan yang tidak berbelah bahagi untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan penting mengenai AI.
-- BERNAMA