Sejurus tiba di KLIA, Jamal terus dibawa polis ke Ampang
Nursyazwani Saiful Sham
Julai 5, 2018 16:19 MYT
Julai 5, 2018 16:19 MYT
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 2.47 petang tadi dari Jakarta, Indonesia.
Beliau yang menjadi buruan polis sejak menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri pada 25 Mei lalu, tiba di KLIA dengan pesawat Malaysia Airlines MH710.
Bagaimanapun, pihak media yang menunggu di balai ketibaan antarabangsa sejak pagi, gagal merakamkan kelibatnya, apabila dimaklumkan beliau terus dibawa menaiki kereta peronda polis sebaik pesawat mendarat.
Kenderaan polis yang menunggu di kawasan pendaratan kapal terbang itu terus membawa Jamal ke Mahkamah Majistret Ampang untuk proses pertuduhan.
Peguamnya Datuk Mohd Imran Tamrin yang ditemui media di KLIA mengesahkan Jamal, 48 tahun, yang juga Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, mungkin berhadapan enam hingga tujuh pertuduhan.
Ia termasuk mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan sah, serta Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63, kerana keluar dari negara ini mengikut laluan tidak sah.
"Ada enam hingga tujuh kertas siasatan yang saya maklum, termasuk kerana meloloskan diri daripada tahanan polis," katanya.
Ditanya sama ada Jamal akan turut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Imran berkata pihak SPRM sebelum ini telah memulakan siasatan terhadap anak guamnya itu serta membuat serbuan di rumahnya.
"Saya yakin ada kertas siasatan yang dibuka oleh SPRM cuma saya tidak pasti ada berapa dan berkaitan dengan kes apa," katanya.
Terdahulu, Mohd Imran dalam kenyataan berkata Jamal dibawa pulang hari ini, selepas urusan penyerahannya oleh Polis Republik Indonesia (POLRI) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
Awal hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata Jamal akan terus dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang dari KLIA untuk dituduh mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan sah.