Sejumlah RM500 juta disalur kepada golongan asnaf setakat Julai - Mohd Na'im

Farhan Hakimi
Julai 6, 2024 17:56 MYT
Mohd Na'im (dua,kiri) ditemui sewaktu mengadakan Program Ziarah Asnaf MAIWP di Putrajaya pada Sabtu. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Sejumlah RM500 juta telah disalurkan kepada sekitar 27,000 golongan asnaf dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar, sumbangan itu sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan umat Islam negara ini.
Justeru itu, beliau turut menyeru umat Islam di Malaysia agar tidak melupakan tanggungjawab melaksanakan melaksanakan kewajipan rukun Islam keempat iaitu menunaikan zakat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ziarah Asnaf MAIWP di Putrajaya pada Sabtu.
"Saya ucapkan terima kasih kepada MAIWP, ziarah asnaf ini kita akan buat secara berterusan.
"Ini merupakan komitmen saya dan pihak MAIWP, untuk memastikan sumbangan zakat yang dikeluarkan oleh pembayar zakat Wilayah Persekutuan ini akan disalurkan kepada golongan asnaf.
"Selain menginsafkan, lawatan turut memberi galakan motivasi serta kekuatan kepada golongan asnaf," ujarnya.
Beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM500 selain lampin pakai buang, tempat kerusi mandian, kerusi roda serta alat bantuan kesihatan 'Gastrostomy Feeding Tube' kepada tiga keluarga asnaf.
Beliau juga berharap masyarakat mempunyai rasa tanggungjawab untuk memerhati dan memaklumkan kepada MAIWP sekiranya mereka mengetahui mana-mana golongan miskin yang memerlukan bantuan.
Ini kerana, sebahagian daripada mereka kurang cakna dan tidak tahu proses permohonan bantuan melalui MAIWP.
Sementara itu, beliau turut memuji inisiatif MAIWP yang akan melancarkan takwim 1446 Hijrah MAIWP bersempena dengan sambutan jubli emas 50 tahun penubuhan MAIWP.
Menurut MAIWP pelancaran itu selaras dengan hasrat MAIWP mengembalikan syiar dan amalan pembudayaan penggunaan kalendar Hijrah di kalangan masyarakat Islam.
Kalendar itu disifatkan istimewa kerana selain memperoleh data dan sumber rujukan daripada Persatuan Falak Syarie Malaysia, kedudukan bulan pada ufuk, lokasi serta bentuk bulan dan kisah sejarah Islam pada tarikh-tarikh tertentu akan ditampilkan.
#peruntukan disalurkan #golongan asnaf #MAIWP #Mohd Na'im Mokhtar #Kuala Lumpur #Labuan #Putrajaya
;