Sejauh mana kebebasan media di Malaysia?
Fareez Azman
Mei 3, 2021 22:29 MYT
Mei 3, 2021 22:29 MYT
KUALA LUMPUR: Di sebalik Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang disambut 3 Mei setiap tahun, pengamal media dikatakan terus berdepan dengan kekangan untuk membuat laporan dengan bebas.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Othman Hashim, pengamal media di Malaysia juga tidak ketinggalan berdepan dengan cabaran apabila Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No.2) 2021 berkaitan berita palsu dikuatkuasakan.
Ujarnya, meskipun Ordinan Darurat itu bagi mengekang penularan berita palsu, ia juga mungkin boleh dianggap satu bentuk sekatan terhadap media dan masyarakat serta memberi ancaman kebebasan bersuara.
"Satu cabaran penting yang dihadapi oleh media yang ingin saya ketengahkan di sini, pengenalan undang-undang berkaitan berita tidak benar awal tahun ini.
"Kerajaan mewartakan Ordinan Kuasa-Kuasa Perlu No.2 2021... ordinan ini mungkin kelihatan menyinggung (menyasarkan) mana-mana orang yang menyebarkan berita palsu yang berkaitan dengan COVID-19 dan deklarasi darurat.
"(Namun) ini mungkin merupakan bentuk sekatan terhadap media dan masyarakat luas, yang menimbulkan ancaman serius kebebasan bersuara, privasi dan hak perbicaraan yang adil," katanya dalam webinar anjuran Suhakam sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada Isnin.
Mengulas lanjut, jelasnya World Press Freedom Index 2021 yang dikeluarkan pada Mac lalu juga mendapati Malaysia turun ke tangga ke 139 berbanding 108 pada tahun 2020.
"Ini adalah petunjuk penurunan nilai kebebasan media berbanding tahun lalu. Tidak dinafikan kebebasan media terutamanya media dalam talian adalah amat penting bagi demokrasi di negara ini.
"Wartawan dan aktivis hak asasi manusia berdepan dengan risiko yang tinggi terutama melibatkan keselamatan mereka kerana tugasan yang dijalankan," katanya lagi.
Dalam pada itu, Penyelaras Residen PBB Malaysia, Singapura dan Brunei, Stefan Priesner pula berpendapat kebebasan media amat penting kepada kemajuan sesebuah negara.
"Jika kebebasan media dikekang pihak tertentu, dikhuatiri ia memberi kesan kepada pembangunan negara berkenaan.
"Media yang bebas adalah hak asasi manusia yang terpenting dalam pembangunan mana-mana negara. Sebenarnya sukar untuk diteruskan pembangunan jangka panjang mana-mana negara (jika) kebebasan media terkekang.
"Kebebasan media juga penting untuk mencapai matlamat pembangunan lestari," katanya ketika memberi ucaptama dalam program berkenaan.
Tambahnya, media juga dapat memainkan peranan penting dalam proses semak dan imbang pemerintahan kerajaan malah mendedahkan kepincangan termasuk amalan rasuah.
Katanya, media juga berperanan sebagai penyebar maklumat dan fakta kepada rakyat meliputi pelbagai sudut kehidupan termasuk pemeliharaan alam sekitar.
#PBB
#keselamatan
#undang-undang
#Malaysia
#COVID-19
#Brunei
#Singapura
#Media
#Rasuah
#kerajaan
#rakyat
#Hari Kebebasan Media Sedunia
#UN
#Sosial Media
#tv
#akhbar
#wartawan
#penulis