Sejati Madani: Projek ikan keli sangkar berjaya ubah status pendapatan Mukim Dusun

Muhafandi Muhamad
Oktober 7, 2024 21:37 MYT
ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim (kanan) melawat tapak projek Sejati Madani penternakan ikan keli sangkar yang diusahakan penduduk di Mukim Dusun, Kota Bharu, Kelantan. - Foto Facebook/Dr Hafidzah
KOTA BHARU: Usaha kerajaan dalam mengubah status pendapatan rakyat di negara ini telah membuahkan hasil apabila salah satu kejayaan yang tercipta adalah menerusi Program Sejati Madani, inisiatif yang diperkenal dalam Belanjawan 2024.
Projek penternakan ikan keli sangkar yang dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama, di sini telah berjaya membina rantaian ekonomi penduduk Kampung Dusun yang memulakan projek penternakan ikan keli sangkar pada awal Ogos lepas.
Melalui program berkenaan, penduduk bukan sahaja meraih pendapatan tambahan, malah turut menimba ilmu kemahiran menternak ikan keli.
Ketika ini, terdapat 16 peserta terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) meraih pelbagai ilmu dalam menjayakan projek itu.
Menurut peserta projek, Mohd Hashim Che Kar, sejumlah besar peserta yang terlibat dalam inisiatif itu adalah golongan belia, termasuk dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap serta lepasan sekolah.
“Kami semua bersama dalam komuniti membantu memelihara ikan keli sangkar.
“Kami juga berterima kasih kepada pengerusi serta Yang Berhormat ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim yang telah banyak membantu untuk mencari peserta yang semuanya dalam kalangan penduduk di Mukim Dusun.
“Kami ketika ini membuat jadual tugasan masing-masing untuk bertugas menjaga 80,000 benih ikan keli ketika ini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Jelasnya, peserta projek turut mendapat sokongan dari agensi Kerajaan Persekutuan yang banyak membimbing mereka dari segi teknik dan kaedah terbaik menguruskan penternakan ikan keli sangkar.
Seorang lagi peserta projek Sejati Madani, Siti Sarah Hashim berkata beliau gembira menyertai projek itu kerana telah memperoleh pelbagai kemahiran baharu.
“Projek ini amat bagus apabila kami telah belajar pelbagai teknik dan pengurusan seperti memberi ikan makan, penentuan gred ikan, cara pasaran dan pelbagai lagi.
“Selain menjual ikan keli segar, kami juga belajar cara untuk mempelbagaikan pendapatan dengan menghasilkan produk seperti keli pekasam, ikan keli berempah, ikan keli kunyit dan pelbagai lagi secara sejuk beku,” katanya.
Jelasnya, projek Sejati Madani bukan sekadar projek untuk meningkatkan hasil pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan, tetapi juga ilmu berharga dalam bidang akuakultur.
Projek itu sekiranya berjaya dilaksanakan pada skala lebih besar dengan pengeluaran sekitar 100 kilogram ikan keli sehari, ia mampu memperoleh jualan kasar kira-kira RM65,000 sebulan, dengan purata harga jualan bagi ikan keli yang matang adalah RM8.50 sekilogram.
Disebabkan permintaan tinggi dalam kalangan peniaga, peraih dan peruncit, mereka kini bercadang untuk menambah lagi benih ikan keli dan sangkar pada masa akan datang.
Program Sejahtera Komuniti Madani atau Sejati Madani merupakan inisiatif baharu Kerajaan Madani yang bertujuan untuk memeriahkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian sumbangan atau dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.
#Belanjawan 2024 #SejaTi Madani #ikan keli sangkar #Mukim Dusun DUN Kota Lama
;