Sejarah perlu seiring dengan teknologi supaya 'sampai' kepada masyarakat

Ridauddin Daud
Ogos 26, 2020 16:11 MYT
Menyedari pentingnya sejarah dalam pembentukan sesebuah negara, Mohd merasakan sejarah perlu sentiasa diceritakan agak masyarakat tidak sesekali lupa untuk menghargainya. - Gambar ASTRO AWANI/SHAHIR OMAR
Tanggal 31, bulan lapan, 57, merdeka, merdeka, tetaplah merdeka…
Tak perlulah disambung lagi bait-bait lagu legenda berkenaan kerana pastinya, jutaan rakyat Malaysia sudah menghafal lagu nyanyian Allahyarham Sudirman itu.
Saban tahun ia dinyanyikan dengan penuh semangat dan 31 Ogos ini, genaplah 63 tahun Malaysia merdeka.
Sejarahnya cukup panjang.
Tawa, tangisan, perit-jerih hadir silih berganti dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan namun sayangnya, tidak ramai menghargainya apatah lagi memahami mahupun mengingati sejarah negara.
Jari pantas menuding kepada sistem pendidikan negara kerana lazimnya, penghayatan sejarah pastinya bertitik-tolak daripada pendidikan yang kemudiannya menghadirkan kesedaran dan kecintaan dalam jiwa setiap rakyat.
Bagi Timbalan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia, Dr Mohd Samsudin, sistem pendidikan negara perlu mengekalkan sistem sedia ada namun disuntik dengan pembaharuan yang memanfaatkan perkembangan teknologi.
“Selain daripada ada asas sistem lama, kita harus pergi ke arah lebih bagus seperti penggunaan IT. kita ni bukan kurang tenaga pakar untuk melahirakan satu hasil pendidikan yang baik, kita harus gemblengkan.
“Yang penting adalah penyampaian itu, content (kandungan) apa yang perlu ada itu saya rasa sentiasa dibaiki, ditambah baik dan dijadikan lebih baik,” katanya dalam satu temu ramah bersama Astro AWANI, baru-baru ini.
Menyedari pentingnya sejarah dalam pembentukan sesebuah negara, Mohd Samsudinmerasakan sejarah perlu sentiasa diceritakan agak masyarakat tidak sesekali lupa untuk menghargainya.
Tambahnya, masyarakat kini banyak menghabiskan masa menggunakan telefon pintar dan jika sejarah diajar melalui medium tersebut, pastinya ia lebih mudah untuk sampai kepada mereka.
“Teknologi sangat signifikan dengan pendidikan. Sebab itu kalau kita lihat negara kita atau negara luar melabur dana yang besar untuk pendidikan dan kemajuan teknologi.
“Ïa harus seimbang, pendidikan harus ikut serta dalam teknologi,” ujarnya.
Menelusuri pembentukan Malaysia, Mohd menggariskan tiga elemen yang perlu dihayati sepanjang masa iaitu peranan dan kuasa Raja-raja Melayu, muafakat yang terhasil dan rundingan dalam mencapai kemerdekaan.
Menurutnya, pemimpin terdahulu telah meninggalkan legasi yang perlu diteruskan pada masa depan demi Malaysia yang bersatu padu dan harmoni.
“Setiap perkara yang ada dalam perlembangaan itu diperhalusi dalam pelbagai peringkat, itu yang saya rasa penting.
“Apa yang ada pada hari ini adalah usaha teliti oleh pemimpin dulu. Hari ini kita harus manfaatkan usaha yang orang dah buat dan kita bantu untuk kukuhkannya. Mana yang longgar kita kuatkan,” katanya.
Dalam pembentukan sebuah negara, cabaran pasti ada, keadaannya tidaklah cantik sepanjang masa namun bagi Mohd, setiap kali Malaysia berdepan cabaran, setiap kali itulah negara berjaya mengatasinya.
Jelasnya, negara lain yang sudah beratus tahun merdeka turut menghadapi masalah dan terpulang kepada rakyat negara itu sendiri untuk memulihkannya.
“Dalam sejarah, proses sejarah negara itu ia akan melalui saat-saat di mana ia memerlukan beberapa perubahan yang akan berlaku.
“Bagi negara kita, kita harus menyelesaikan dalam bentuk terbaik. Pemimpin-pemimpin lama kita meninggalkan legasi perundangan dan muafakat, itulah yang paling penting,” ujarnya.
#Astro Awani #Dr Mohd Samsudin #Malaysia #Melayu #Merdeka #negara #pendidikan #rakyat #rakyat Malaysia #telefon pintar #Timbalan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia
;