'Sejarah buktikan negara kita boleh dijual' - Khair Ngadiron

Nizam Bakeri
Ogos 29, 2017 19:22 MYT
ITBM turut bekerjasama dengan Astro AWANI dalam projek #60JalanMerdeka menerusi akses kepada naskhah bersejarah yang disediakan oleh mendiang Frederick Lees, bekas pegawai Malayan Civil Services (MCS). - Gambar fail
TIADA sejarah tanpa dokumentasi dan catatan.
Jatuh bangun bangsa masa silam dipelajari menerusi huruf pada helaian sejarah yang dirungkai satu per satu.
Justeru, Astro AWANI menemubual Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) untuk mendalami kepentingan institusi perbukuan dalam memahami makna kemerdekaan.
ITBM turut bekerjasama dengan Astro AWANI dalam projek #60JalanMerdeka menerusi akses kepada naskhah bersejarah yang disediakan oleh mendiang Frederick Lees, bekas pegawai Malayan Civil Services (MCS).
Astro AWANI: Boleh anda kongsikan antara pengalaman terawal, misalnya di bangku sekolah, ketika menyambut kemerdekaan? Bagaimana suasana ketika itu?
Mohd Khair: Semasa kecil, di sekolah rendah, saya ingat bulan Ogos itu bulan Merdeka yang agak sibuk. Yang pertama, akan ada sambutan di sekolah. Akan ada pementasan, baca sajak, semua perkara yang boleh mengingatkan kita kepada kemerdekaan.
Kalau subjek lukisan, pastilah kita akan lukis bendera dan kita merasakan kemerdekaan itu hari yang diraikan. Ada kemungkinan pada waktu itu, guru yang ada lahir sebelum merdeka. Jadi makna kemerdekaan itu cukup dekat dengan tenaga pengajar. Sebab itu mereka bersungguh-sungguh untuk meraikan kemerdekaan.
Astro AWANI: Anda bersekolah di mana?
Mohd Khair: Darjah Satu hingga Darjah Tiga di Sekolah Kebangsaan Parit No 5 di Jalan Yusof, Muar. Selepas itu saya berpindah ke Kota Tinggi di Felda Air Tawar 3.
Astro AWANI: Zaman berlalu dan generasi pun bersilih ganti. Apa perbezaan yang anda sedari tentang sambutan kemerdekaan dahulu dan sekarang?
Mohd Khair: Sekarang saya melihat lebih banyak artificial. Kita minta orang letak bendera, bendera pula diberi percuma. Kalau tidak letak bendera, dia tidak memaknakan kemerdekaan.
Tidak ada usaha secara keseluruhan dari pelbagai agensi. Kalau kemerdekaan, kementerian tertentu sahaja yang berperanan. Tapi kita tidak melihat bawah ini satu usaha yang bersepadu oleh semua pihak. Itu saya fikir kesungguhan yang perlu ada.
Kemerdekaan patut diraikan oleh semua, bukan hanya tanggungjawab pegawai tertentu, kementerian tertentu, tapi keseluruhan masyarakat supaya kita nampak makna kemerdekaan yang kita ada.
Kebanyakan daripada kita lahir selepas merdeka, tidak akan merasai manisnya merdeka sebab kita tidak melalui apa yang berlaku sebelum merdeka. Ini perkara yang patut dikongsi supaya kita tidak rasa merdeka satu perkara yang mudah, perkara yang patut diambil enteng.
Astro AWANI: Salah satu elemen penting sebuah negara merdeka ialah negara yang celik tentang sejarahnya, khususnya melalui catatan persejarahan. Apakah usaha ITBM setakat ini bagi memastikan khazanah sebegini kekal terpelihara untuk generasi akan datang?
Mohd Khair: Kami melihat perkara ini daripada pelbagai segi. Pertama, teks sejarah itu sendiri. Kita telah melahirkan buku Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia 1791-1965.
Buku ini merakamkan bagaimana kita menyerahkan negara kepada pihak penjajah satu-persatu, selagi ada bulan dan bintang. Semuanya ada dalam dwibahasa, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Koleksi ini menggambarkan kalau kita tidak jaga negara kita betul-betul, kita boleh dijajah. Orang lain boleh ambil kesempatan. Kalau kita bergaduh, kita juga akan hilang negara. Ini bukti sejarah bagaimana negara kita boleh dijual satu-persatu dan akhirnya kita dijajah secara keseluruhan.
Ini antara buku yang mendapat sambutan, telah diulang cetak lima kali. Saya melihat buku sejarah sebegini untuk diulang cetak sebanyak lima kali agak sukar, tetapi ini menarik minat sama ada orang yang meminati sejarah atau pembaca yang memang mahukan buku sebegini.
(Jawaharlal) Nehru pernah sebut apabila negara kita mencapai kemerdekaan, ini recipe for disaster. Kita tidak boleh bertahan lama kerana pada waktu itu negara kita satu melting pot, komponen yang agak besar (terdiri daripada) Melayu, Cina dan India yang sukar untuk disatukan.
Sebab itu kita perlu hormati Bapa Kemerdekaan dan pejuang-pejuang terdahulu boleh mencapai kemerdekaan tanpa menumpahkan darah.
Kontrak sosial, ini antara perkara yang selalu dinafikan sebab tidak ada apa-apa bukti dalam Perlembagaan yang menyatakan wujud kontrak sosial.
Tetapi apa yang ITBM lakukan, kami mengkaji bagaimana Malaya ditubuhkan, bagaimana Suruhanjaya Reid yang menyediakan dokumen perlembagaan akhirnya berbincang, apa surat-surat yang dihantar kepada pihak British supaya kita ada perlembagaan sendiri, ini kita bukukan dalam Kontrak Sosial: Perlembagaan Persekutuan 1957 Pengikat Jati Diri Bangsa Malaysia Merdeka.
Ada beratus-ratus dokumen dibukukan. Ada surat daripada Presiden MCA, MIC, dan PAS kepada Suruhanjaya Reid yang memperincikan apa yang mereka mahukan, yang perlu ada dalam Perlembagaan.
Inilah sebenarnya Kontrak Sosial yang ada. Malangnya, generasi muda tidak melihat, benarkah ada kontrak sosial? Secara zahirnya memang tidak dinyatakan dengan jelas, tetapi buku ini memperihalkan bagaimana kemerdekaan dicapai, bagaimana persefahaman dibentuk, dan akhirnya ada Perlembagaan.
ITBM juga melahirkan buku-buku cereka. Kita ada Ah Fook tulisan Jong Chian Lai (Pemenang Tempat Pertama Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2015) yang memperihalkan sejarah tanah air, bagaimana kita perlu bersatu.
Kita juga kembalikan semula Siri Klasik Sako, terutamanya Anak Mat Lela Gila dan Putera Gunung Tahan, novel klasik yang patut dibaca (untuk) melihat perjuangan bangsa. Dalam buku ini, misalnya kita melihat kepekaan penulis melahirkan perjuangan dalam bentuk yang sangat bijaksana, bercerita dan mengkritik. Kita tahu kalau kita mengkritik secara terang-terangan mungkin kita kena tangkap. Buku ini membangkitkan rasa dan semangat.
Kita ada Di Sebalik Yamacita dan Percival. Ini juga bahan bacaan yang perlu dibaca oleh generasi muda untuk melihat persejarahan yang kita ada.
Astro AWANI: Julai lalu kerajaan melalui Kementerian Pendidikan telah menubuhkan Jawatankuasa Pelaksana Pembaharuan Dasar Buku Negara. Sebagai salah satu pemain utama dalam industri perbukuan, apa harapan ITBM terhadap Dasar Buku Negara yang baharu?
Mohd Khair: Untuk melihat tamadun bangsa (dan) tamadun negara, perkara paling penting ialah aspek dokumentasi dan perbukuan. Kita lihat besarnya bangsa itu, lihat sejarah yang kita ada. Bangsa Melayu pun besar kerana kita ada buku Hikayat Hang Tuah (dan) Tuhfat Al-Nafis yang menceritakan kebangkitan sebuah bangsa.
Dalam masa yang sama, zaman berubah. Dasar Buku Negara yang pertama dibuat pada (dekad) 80-an. Selepas 80-an sehingga tahun 2000 sebenarnya, hampir tidak ada ahli Parlimen yang menyuarakan kepentingan Dasar Buku Negara yang memungkinkan kita melihat masa depan. Zaman 80-an kita tidak ada (kemudahan) atas talian, laman sesawang, banyak yang tidak ada.
Secara prinsipnya, dasar itu sudah bagus tetapi sama ada dasar itu boleh diangkat dan dilihat semula. Saya rasa apa yang dibuat oleh Budiman Mohd Zohdi (Ahli Parlimen Sungai Besar) adalah langkah yang tepat dan patut disokong oleh semua.
ITBM tentunya menyokong usaha yang dibuat dan Budiman sekarang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Dasar Buku Negara. Kita akan memastikan semua pihak berkepentingan akan dihubungi dan akan ada perbincangan dengan mereka agar Dasar Buku Negara yang akan dihantar kepada Menteri Pendidikan dan seterusnya kepada Kabinet adalah yang dipersetujui oleh majoriti pihak berkepentingan.
Astro AWANI: Saya difahamkan ITBM memiliki naskhah asal dokumen panduan sambutan kemerdekaan yang digunakan oleh kerajaan Inggeris dalam sambutan kemerdekaan pada tahun 1957. Boleh anda ceritakan sedikit tentang naskhah ini?
Mohd Khair: Saya berkesempatan dibawa ke London oleh Zaharah Othman untuk bertemu dengan Frederick Lees. Beliau merupakan Setiausaha yang menjaga sekretariat sambutan kemerdekaan. Sewaktu berjumpa dengan beliau, saya telah diberikan buku Merdeka Celebration In Kuala Lumpur: General Orders and Instructions and Ceremonial Parades.
Jadi untuk sambutan itu, (ada) buku panduan yang sangat lengkap dan sangat teliti. Ahli jawatankuasa, kementerian yang terlibat, penaja, perjalanan kemerdekaan semuanya disenaraikan dan sangat lengkap.
(Contohnya) Siapa sampai pada pukul berapa, pukul lima polis di mana, pukul enam pihak media perlu ada di mana, saya fikir saya tidak pernah melihat dokumen yang terperinci sebegini. Maksudnya kalau kita mahu buat filem bagaimana sambutan Merdeka dibuat, ini manual yang cukup lengkap.
Malah, Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri Malaysia yang pertama telah mengemukakan surat pada 31 Oktober 1957 kepada Frederick Lees (untuk) mengucapkan terima kasih atas usaha yang dilakukan.
Astro AWANI: 60 tahun Malaysia merdeka. Apa harapan anda untuk negara ini?
Mohd Khair: Saya mengimpikan sebuah Malaysia merdeka yang ada jati diri yang kuat, yang mengangkat bahasa kita, dan dalam masa yang sama meninggikan budaya kita. Kebetulan saya dilantik sebagai penasihat kebudayaan untuk Menteri Kebudayaan Taiwan. Saya melihat usaha Taiwan, sebagai contoh, mereka mengangkat budaya dan bahasa mereka ke peringkat paling tinggi.
#60jalanmerdeka #Frederick Lees #Jong Chian Lian #Kota Tinggi #Malayan Civil Services #MCS #Merdeka #Mohd Khair Ngadiron #Sungai Besar #Tunku Abdul Rahman #Zaharah Othman
;