Sejam menahan azab akibat tangan tertusuk besi

Rohana Wahed
Februari 4, 2020 00:47 MYT
Pihak bomba mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan besi tersebut. - Foto JBPM
Seorang lelaki terpaksa menahan azab lebih sejam selepas tangan kirinya tertusuk besi dalam kejadian di Pakan, di sini pada Selasa.
Ketua Balai dan Penyelamat Daro, Mahmudin Narudin berkata, mangsa berusia 54 tahun itu dipercayai ingin menjalankan aktiviti memanah ikan namun tergelincir sebelum tangannya terkena besi berkenaan.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan pada 2.23 petang dari Unit Kecemasan Hospital Sarikei yang memohon khidmat untuk mengeluarkan besi tersebut.
"Kami bertindak memotong besi tersebut dengan berhati-hati menggunakan pemotong bagi mengelak kecederaan lebih teruk pada tangan mangsa.
"Akhirnya besi itu berjaya dikeluarkan dari tangan mangsa dalam tempoh 30 minit," katanya ketika dihubungi.
Sejurus itu katanya, mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan susulan.
#Balai dan Penyelamat Daro #Hospital Sarikei #menahan azab #tangan kiri #tertusuk besi
;