Segmentasi sektor pelancongan dilakukan, tarik pelancong berkualiti - Ahmad Zahid
Astro Awani
Julai 19, 2024 20:15 MYT
Julai 19, 2024 20:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melakukan segmentasi sektor pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong berkualiti dan berpendapatan tinggi ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), bermula tahun ini.
Ringkasan AI
- Kerajaan akan membahagikan sektor pelancongan kepada pasaran sedia ada dan pasaran baharu untuk menarik pelancong berkualiti dan berpendapatan tinggi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yakin penglibatan sektor swasta akan mendukung program Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam menarik pelancong.
- Kerajaan sedang menyemak semula Akta Industri Pelancongan 1992 untuk disesuaikan dengan keperluan pasaran semasa dan VM2026, dengan perbincangan sudah dimulakan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata segmentasi sektor pelancongan akan dibahagikan kepada pasaran sedia ada (establish market) dan pasaran-pasaran baharu (emerging markets).
Jelas beliau, perkara itu antara yang dicapai dalam sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan, yang dipengerusikan olehnya hari ini.
"Ini kita lakukan kerana suatu program itu harus dimulakan dari sekarang dan tahun depan adalah pelaksanaannya kerana pada tahun 2026 kita akan menerima pelancong-pelancong mengikut kumpulan sasaran yang telah ditetapkan.
"Saya yakin dengan penglibatan sektor swasta, penggiat-penggiat pelancongan ini dalam semua bidang akan dapat mendokong semua program Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menarik pelancong," katanya dalam sidang media tersebut, di sini pada Jumaat.
Hadir sama Timbalan Menteri MOTAC, Khairul Firdaus Akbar Khan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Kabinet menambah, kerajaan mensasarkan pelancong berkualiti dan berpendapatan tinggi kerana ia secara tidak langsung dapat membantu ekonomi negara.
Dalam masa sama, beliau berkata sasaran pelancong untuk VM2026 kekal 35.6 juta orang.
"Kita hargai pelancong-pelancong dari China, India dan Indonesia namun kita berasakan usaha yang saya katakan high end inbound tourist itu juga penting untuk kita bawa, bukan hanya dari segi jumlah pelancong tetapi sejauh mana pertukaran wang asing yang diperoleh daripada pelancong-pelancong ini akan dapat membangun ekonomi negara kita," ujar beliau.
Selain itu, Ahmad Zahid juga berkata kerajaan sedang menyemak semula Akta Industri Pelancongan 1992 untuk disesuaikan dengan pasaran pelancongan semasa serta memenuhi keperluan VM2026.
Jelas beliau, perbincangan berhubung semakan itu telah dimulakan.
"Kita sesuaikan dengan situasi pasaran pelancongan sekarang dan untuk sekurang-kurangnya untuk 20 tahun akan datang sebelum ubah suai (pindaan) dilakukan (ke atas akta itu lagi)," katanya lagi.