Segerakan undang-undang hukum anak abai ibu bapa

Arfa Yunus, Firdaus Azil
Februari 20, 2019 18:54 MYT
CHEE HENG: Saya tak tahu kenapa dia tak sanggup ambil mak dia. - Astro AWANI/Shahir Omar
Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih Kuan Chee Heng menggesa kerajaan segerakan undang-undang menghukum anak-anak yang mengabaikan ibu bapa.
Chee Heng yang lebih mesra dipanggil 'Uncle Kentang' pada Rabu berkongsi kisah sewaktu beliau memandu van ambulans membawa seorang pesakit yang sedang nazak.
Menurut Chee Heng, anak kepada pesakit itu enggan bertemu dengan ibunya walaupun sudah tahu ibunya pada ketika itu dalam keadaan tenat.
“Saya minta alamat rumah anaknya tetapi dia (anak) bagi saya alamat yang bukan-bukan. Saya ke Klang dan mak dia sudah nazak dan nak mati.
“Hasrat dia bukan untuk minta duit, cuma nak berjumpa untuk kali terakhir,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Tambah Chee Heng, beliau terkejut apabila dia tiba di rumah anak pesakit itu, kerana melihat kehidupannya yang mewah.
“Saya tak tahu kenapa dia tak sanggup ambil mak dia. Dia kaya raya, dengan beg golf, kereta Mercedes, rumah besar,” katanya lagi.
Ini bukan kali pertama Kuan berdepan dengan peristiwa sebegini dan disebabkan itu beliau meletakkan harapan terhadap kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.
Katanya, undang-undang menghukum anak-anak yang mengabaikan ibu bapa amat penting bagi menjaga kebajikan mereka yang sudah tidak lagi terdaya menjaga diri sendiri di usia tua.
“Saya harap kerajaan akan lihat perkara ini dan buat satu undang-undang di mana kita boleh, sebagai contoh, menyita harta anak-anak atau apa-apa cara lain.
“Kerana kita sebagai anak, selepas ibu bapa dah besarkan kita, tetapi tiba-tiba bila ibu bapa (sakit), buang air kena pakai lampin kita tak mahu mereka lagi,” tambahnya lagi.
Pada 3 Feb, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata ia akan berbincang dengan pihak berkepentingan untuk mengesyorkan penggubalan akta baharu lindungi institusi keluarga.
Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh, dilaporkan berkata rundingan itu akan dibuat dengan kumpulan sasar iaitu wakil warga emas, keluarga, masyarakat, ahli akademik serta kementerian dan agensi kerajaan berkaitan.
Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial), P Waythamoorthy mahu cadangan mewujudkan undang-undang hukum anak yang abai dan dera ibu bapa dikaji dengan terperinci terlebih dulu sebelum dilaksanakan.
Beliau berkata ini kerana kini sudah ada undang-undang berkaitan mengikut Kanun Keseksaan.
#anak abai ibu bapa #kempen #Kuan Chee Heng #Masyarakat #politik #PRK Semenyih #Uncle Kentang #undang-undang
;