Segerakan undang-undang hapus plumbum dalam cat - CAP

Bernama
Oktober 22, 2024 18:07 MYT
Mohideen berkata, plumbum merupakan bahan toksik terkumpul yang mampu menjejaskan sistem tubuh manusia serta boleh mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan. - Bernama
GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya menyegerakan pembentukan undang-undang bagi menghapuskan penggunaan plumbum dalam cat selain menguatkuasakan undang-undang sedia ada demi melindungi kesihatan awam.
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata ia berikutan plumbum merupakan bahan toksik terkumpul yang mampu menjejaskan sistem tubuh manusia serta boleh mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan terutama bagi kanak-kanak dan wanita hamil.
Beliau berkata kanak-kanak yang terdedah kepada plumbum boleh mengalami kerosakan pada otak yang mengganggu keupayaan intelek dan tidak dapat dipulihkan.
"Orang dewasa yang terdedah kepada jumlah plumbum tinggi pula boleh mengalami masalah pembiakan, hipertensi dan mengurangkan fungsi imun selain merosakkan buah pinggang dan sistem saraf pusat.
"Isu plumbum ini telah dikemukakan oleh CAP sejak dulu lagi dan ujian yang dijalankan sebelum ini ke atas kosmetik untuk mata dan susu formula bayi mengesan paras plumbum yang tinggi dalam sampel yang diuji," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohideen berkata bersempena sambutan Minggu Pencegahan Keracunan Plumbum Antarabangsa (ILPPW) 2024, CAP telah menghantar 40 sampel pelbagai produk mainan, aksesori peribadi, kosmetik dan rempah ke makmal bebas bagi menguji jumlah kandungan plumbum yang terdapat dalam setiap produk itu.
Beliau berkata hasil ujian mendapati lebih 20 sampel mengandungi plumbum manakala satu sampel kosmetik untuk mata pula didapati mengandungi plumbum hampir 1,000 kali ganda melebihi paras yang dibenarkan.
"Bagi produk rempah, sembilan daripada 25 sampel yang diuji mengandungi plumbum melebihi paras yang dibenarkan yang mana satu sampel serbuk cili telah didapati mengandungi lebih daripada lapan kali ganda paras plumbum yang dibenarkan," katanya.
Menurut Mohideen, lapan sampel dihantar bagi produk kosmetik dan hasilnya mendapati empat daripada jumlah itu mengandungi plumbum melebihi paras yang dibenarkan iaitu 20 bahagian persejuta (bps) termasuk dua kosmetik untuk mata yang mencatatkan paras plumbum hampir 200,000 bps dan 125,700 bps.
Selain itu, beliau memaklumkan CAP turut menghantar enam sampel gelang dan pin rambut dengan satu sampel gelang yang diuji didapati mengandungi lebih 300 bps plumbum sementara satu sampel kereta mainan juga didapati mengandungi bahan sama.
Meskipun terdapat kesedaran meluas terhadap kesan berbahaya plumbum dan tindakan di banyak negara, namun pendedahan plumbum terutamanya terhadap kanak-kanak tetap menjadi kebimbangan utama.
Sehubungan itu, Mohideen berharap tindakan segera dapat diambil dengan melaksanakan penguatkuasaan secara lebih tegas serta mengisytiharkan undang-undang untuk menghapuskan plumbum dalam cat bagi melindungi generasi masa depan.
-- BERNAMA
#plumbum #cat #CAP #mohideen abdul kader #kesihatan #toksik
;