Segerakan sidang Parlimen: Hasrat kerajaan PN selari titah Agong - Azmin Ali

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 17, 2021 15:13 MYT
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (berbaju biru) menyapa penerima vaksin COVID-19. Turut serta Chow Kon Yeow (kiri). - Gambar Astro AWANI
NIBONG TEBAL: Hasrat kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan persidangan Parlimen adalah selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang mahu ia diadakan secepat mungkin.
Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagaimanapun berkata, proses itu akan dilakukan berlandaskan lunas Perlembagaan dan undang-undang serta mengikut kesesuaian masa.
Menurutnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah memberi jaminan bahawa Parlimen akan tetap bersidang namun bergantung kepada situasi semasa.
“Dalam konteks sidang Parlimen, Perdana Menteri selaku ketua majlis telah menyatakan beberapa hari yang lalu bahawa Parlimen akan bersidang… kita tidak pernah menyatakan Parlimen tidak bersidang.
“Tetapi selaku ketua majlis beliau Perdana Menteri) bertindak mengikut peruntukan undang-undang, Perlembagaan dan juga standing order dalam Parlimen dan mengikut masa yang bersesuaian untuk adakan (sidang).
“Bagi saya titah Yang di-Pertuan Agong adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk adakan sidang Parlimen dalam masa yang sesuai supaya proses demokrasi ini akan terus disuburkan,” kata Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu sidang Parlimen diadakan secepat mungkin pada sidang media di Pulau Pinang pada Khamis.
Dalam masa Azmin berkata, segala tindakan atau usaha yang diambil kerajaan dalam tempoh setahun lalu adalah berpegang kepada prinsip undang-undang dan Perlembagaan negara.
Sementara itu mengenai program vaksinasi, Azmin berkata, tindakan yang dilaksanakan kerajaan ketika ini adalah demi memastikan imuniti berkelompok (herd imunity) dapat dicapai.
Terdahulu beliau melakukan tinjauan bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bukit Jawi Golf Resort, di Nibong Tebal sempena Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19.
Pada Rabu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan segera.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
Pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan.
#Sidang Parlimen #Segerakan sidang Parlimen #Yang di-Pertuan Agong #Parlimen #Buka Parlimen #Azmin Ali #COVID-19 #vaksin COVID-19
;