Segerakan RUU Pendanaan Politik, mula dengan skop lebih kecil – Azam Baki

Irfan Faruqi
Februari 13, 2025 21:46 MYT
Azam berkata penguatkuasaan undang-undang pendanaan politik adalah ideal ketika ini memandangkan beberapa siri pilihan raya akan bermula. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Undang-undang berkaitan pendanaan politik perlu disegerakan dengan tumpuan awal diberikan kepada pendanaan kempen pilihan raya.

Ringkasan AI
  • Tan Sri Azam Baki menggesa undang-undang pendanaan politik disegerakan, bermula dengan pendanaan kempen pilihan raya.
  • Draf Rang Undang-Undang (RUU) pendanaan politik sudah komprehensif tetapi masih tersekat di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas.
  • Cadangan ini bertujuan meningkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia, yang kekal pada 50 mata pada 2024.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata penguatkuasaan undang-undang ini adalah ideal ketika ini memandangkan beberapa siri pilihan raya akan bermula tidak lama lagi.
“Saya beritahu kepada Datuk Seri Azalina (Othman Said), elok untuk mula dengan kecil. Mula dengan projek permulaan. Di Malaysia kita ada Pilihan Raya Umum (PRU) setiap lima tahun dan banyak Pilihan Raya Kecil (PRK). Mulakan dengan ini dahulu.
“PRU juga hanya dua tahun setengah lagi. Elok undang-undang itu dibahaskan sekarang, dibawa ke Parlimen. Ketika ini, setakat saya tahu, undang-undang pendanaan politik ini tersekat di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas.
“Saya tidak tahu apa masalahnya. Apabila masih tersekat dengan pelbagai perbincangan, saya sebagai pegawai kerajaan dan penguatkuasaan ada pula timbul persepsi lain. Kenapa lambat?,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Menurut Azam, draf Rang Undang-undang (RUU) berkenaan adalah komprehensif dan ia memerlukan penguatkuasaan secara bertahap dengan mengambil masa yang lebih lama.
“Contohnya, setiap pemberian sumbangan dan dana kepada parti politik perlu dilaporkan. Saya hendak beritahu, parti politik dalam negara kita di setiap cawangan dan bahagian ada akaun (bank) mereka sendiri.
“Contohnya, UMNO sahaja ada 6,000 akaun. Mungkin Parti Keadilan Rakyat (PKR) ada 3,000 akaun. Siapa pula hendak menjadi pengawas kepada akaun-akaun ini? Sampai ke tahap itu undang-undang ini didrafkan,” ujarnya.
Cadangan ini diutarakan Azam sebagai sebahagian langkah penambahbaikan untuk meningkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Pada Selasa, Transparency International menerbitkan laporan CPI 2024 dan mengekalkan skor Malaysia sebanyak 50 mata seperti tahun sebelumnya.
#Azam Baki #pilihan raya #Persepsi Rasuah #SPRM #undang-undang pendanaan politik
;