Segerakan projek naik taraf lapangan terbang, pelabuhan - PM

Hasimi Muhamad
Februari 24, 2024 11:30 MYT
Anwar berkata, kemudahan tersebut perlu efisen bagi mengelakkan kesesakan terutama di lapangan terbang di Tawau, Sabah dan Pulau Pinang. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Projek penyelenggaraan dan penambahbaikan lapangan terbang serta pelabuhan perlu disegerakan bagi menerima pelancong dari luar negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan tersebut perlu efisen bagi mengelakkan kesesakan terutama di lapangan terbang di Tawau, Sabah dan Pulau Pinang.
Pada masa sama, Anwar berkata projek naik taraf aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga perlu disiapkan dengan cepat.
Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Ketua Pengarah kementerian yang terbabit perlu merujuk Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kewangan (MoF) bagi menyegerakan arahan berkenaan.
“Bukan sahaja (lapangan terbang) di Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang, Alor Setar (Kedah) dan Kota Bharu (Kelantan) sampai ke Tawau (Sabah).
“Seperti mana kita tahu lapangan terbang di Tawau itu kecil. Tidak dirangka untuk mendapat pelancong dari luar negara. Kita kena tarik pelancong dari luar.
“Tak boleh nak siapkan atau baiki lapangan terbang dalam tempoh tiga atau empat tahun, tak boleh.
“Oleh sebab itu, saya minta semua kawasan ini disegerakan dan usaha (Menteri MOT) Anthony Loke segerakan hal sedemikian... Lapangan Terbang Tawau dan Pulau Pinang yang dah sesak untuk memudahkan,” katanya di sini pada Sabtu.
Perdana Menteri berucap pada Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Timbalan Menteri, Khairul Firdaus Akbar Khan.
Perdana Menteri dalam pada itu mengulangi peringatan proses untuk menyegerakan projek-projek berkenaan perlu mengikut prosedur yang ditetapkan dan mengelak daripada amalan lama.
Selain itu, Anwar berkata sinergi antara kementerian dan agensi perlu diperhebat bagi memastikan industri pelancongan negara kekal berdaya saing dan lebih berkembang.
HKK 2024 bermula pada 21 Februari sehingga 4 Mac dari pukul 10 pagi hingga 10 malam bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
HKK diadakan bertujuan bagi memberi pengiktirafan terhadap penglibatan dan sumbangan usahawan serta penggiat kraf kepada pembangunan industri kraf negara.
#Anwar Ibrahim #lapangan terbang #pelabuhan #projek naik taraf
;