Segerakan pindaan Akta 605 untuk atasi masalah gangguan seksual di IPTA - Maszlee

Dr Maszlee Malik
Jun 21, 2021 18:17 MYT
Gesaan dibuat susulan aduan bekas pelajar yang menuduh seorang pensyarah di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Selangor telah melakukan gangguan seksual ke atas dirinya. - Gambar fail
SAYA mengambil maklum usaha Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) yang mengulangi gesaan agar kerajaan mengemukakan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual susulan dakwaan terbaru yang dilaporkan media mengenai gangguan seksual di institusi pendidikan. Gesaan ini berlaku susulan aduan bekas pelajar yang menuduh seorang pensyarah di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Selangor telah melakukan gangguan seksual ke atas dirinya, dan diikuti oleh aduan beberapa mangsa yang lain dari universiti-universiti yang lain.
Kita juga perlu berasa risau dengan suatu tinjauan mengenai gangguan seksual yang telah dilakukan oleh All Women's Action Society (Awam) mendapati bahawa 59 peratus responden tidak melaporkan kejadian tersebut, dengan satu sebabnya adalah takut akan kesan kerana pelaku berada dalam posisi berkuasa. Hal ini menggambarkan bahawa jenayah gangguan seksual ini telah lama berlaku, tetapi didiamkan dan dipendamkan dan seakan menjadi norma. Hal ini amat memalukan dan mengerikan.
Usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di zaman Pakatan Harapan
Di atas kesedaran itu, saya rasa KPM dan kerajaan hari ini perlu melihat semula kepada usaha KPM di bawah pimpinan saya pada tahun 2019 yang telah berusaha untuk meminda Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 – Akta 605. Usaha pindaan terhadap Akta 605 adalah untuk memastikan kebebasan akademik sentiasa terjamin dan dalam masa sama memastikan integriti ahli akademik di negara kita dapat diperkukuhkan.
Pindaan-pindaan ini akan memberi ruang kepada para pensyarah untuk bebas bersuara, tetapi dengan bertanggungjawab, mengelakkan jenayah ilmiah seperti plagiarisme dan juga bersih dari salahlaku seksual di tempat kerja demi mengangkat martabat dan wibawa insitutsi pengajian tinggi di Malaysia. Apa yang pasti usaha pindaan ini turut mensasarkan penyelesaian isu gangguan seksual dengan lebih serius dan secara lebih berstruktur.
Untuk mencapai maksud dan tujuan ini, persetujuan Perdana Menteri untuk meminda Peratuan-Peraturan yang termaktub dalam Jadual Kedua melalui perintah yang disiarkan dalan Warta adalah mencukupi tanpa perlu membawa rang undang-undang pindaan ke Parlimen. Perkara ini dibolehkan berdasarkan Seksyen 23 (1), Akta 605 tersebut.
Tiga Skop Peraturan Tambahan
Antara pindaan terhadap Akta 605 pada tahun 2019 yang saya cadangkan adalah dengan memasukkan tiga skop peraturan tambahan, selaras dengan roh dan semangat kebebasan dan integriti dunia akademik negara, iaitu:
1) SALAHLAKU AKADEMIK: Membanteras dan menangani kes-kes salahlaku akademik seperti plagiarism, salah guna geran penyelidikan, memanipulasi hasil kajian mahasiswa.
2) GANGGUAN SEKSUAL DAN HUBUNGAN TIDAK WAJAR: Menangani kes-kes gangguan seksual dan hubungan yang tidak wajar dalam kalangan pegawai Universiti Awam yang boleh meruntuhkan integriti dan keharmonian Universiti Awam.
3) PENGLIBATAN DALAM SKIM CEPAT KAYA: Mencegah dan mengurangkan keterlibatan pegawai Universiti Awam dalam aktiviti skim cepat kaya dan keterhutangan kewangan yang serius.
Dalam konteks isu gangguan seksual yang kita fokuskan di dalam perbincangan ini, apa yang penting ialah cadangan kedua iaitu “Penambahbaikan Kesalahan Salahlaku Seksual dan Hubungan Tidak Wajar.”
Di dalam kertas pertimbangan yang telah dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri pada waktu itu, peruntukan tambahan berikut disyorkan untuk dimasukkan dalam Jadual Kedua di bawah tajuk ‘GANGGUAN SEKSUAL DAN HUBUNGAN TIDAK WAJAR’:
“(1) Seseorang pegawai tidak boleh melakukan gangguan seksual terhadap orang lain, iaitu, seseorang pegawai tidak boleh—
membuat cubaan untuk merapati orang lain secara seksual, atau meminta layanan seksual daripada orang itu; atau
melakukan apa-apa perbuatan yang bersifat seksual berhubung dengan orang lain, dalam keadaan yang, setelah mengambilkira segala hal keadaan, akan menyebabkan seseorang yang waras tersinggung, terhina atau terugut.
(2) Sebutan dalam subperaturan (1) tentang perlakuan sesuatu perbuatan yang bersifat seksual kepada orang lain—
termasuklah perbuatan sesuatu pernyataan yang bersifat seksual kepada, atau di hadapan, orang lain itu sama ada pernyataan itu dibuat secara lisan, bertulis atau dengan apa-apa lain.
tidak terhad kepada perlakuan perbuatan itu di tempat kerja atau dalam waktu bekerja sahaja selagi perlakuan itu memburukkan atau mencemarkan nama Universiti Awam.”
(3) Seseorang pegawai tidak boleh menjalin atau disifatkan sebagai menjalin hubungan tidak wajar dengan orang lain yang boleh ditafsirkan dengan apa-apa cara sebagai memudaratkan ketenteraman, kesejahteraan, keselamatan awam, moral, etika atau kesopanan.”
Penguatkuasaan kesalahan tambahan ini tertakluk kepada peraturan dan proses atau tatacara yang sedia ada. Apa yang menarik ialah, isu ini dimasukkan langsung sebagai salahlaku dan pelakunya boleh dikenakan tindakan, malah dipecat dari jawatannya jika didapati bersalah oleh pihak yang telah dibertanggungjawabkan. Ini adalah satu pembaharuan kerana tindakan tatatertib boleh diambil oleh pihak Universiti serta merta tanpa menanti penguatkuasaan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dilaksanakan oleh pihak Polis.
Perkembangan Usaha Pindaan
Saya secara peribadi telah bertemu dengan Perdana Menteri pada waktu itu, iaitu, Tun Dr. Mahathir mengenai perkara ini sebanyak dua kali pada tahun 2019, dan juga telah berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam juga sebanyak dua kali pada tahun yang sama untuk mengecualikan ahli akademik daripada sekatan yang diberikan kepada perkhidmatan awam serta menambah panduan tertentu kepada mereka untuk memperkasakan tahap akademik mereka.
Harapan dan jangkaan saya pindaan ini akan terlaksana pada tahun 2020. Malangnya, di awal Januari saya telah diminta memulangkan jawatan saya kepada YAB Perdana Menteri pada ketika itu, dan saya telah tidak mendengar apa-apa berita mengenainya. Lebih menyedihkan lagi, selepas kerajaan bertukar, usaha ini tidak menampakkan kemajuan. Saya pernah bertanyakan kepada Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Timbalannya di Dewan Rakyat pada tahun 2020, malangnya soalan berkaitan pindaan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 – Akta 605 tidak dijawab dengan substantif dan serius.
Sudah sampai waktunya bagi kerajaan, terutamanya YAB Perdana Menteri untuk meluluskan pindaan ini demi mengelakkan salah laku dan gangguan seksual menjadi norma di institusi pengajian tinggi. Pindaan terhadap Akta 605 ini sepertimana yang telah disebutkan, tidak perlu kepada sidang parlimen, ia hanya perlu kelulusan oleh pihak YAB Perdana Menteri. Tindakan berani YAB Perdana Menteri untuk membuat pindaan ini demi memelihara keselamatan warga kampus dan meningkatkan integriti serta tahap profesionalisme warga akademia akan memberikan makna dan erti kepada kehormatan dan wibawa institusi pengajian tinggi negara.
#gangguan seksual #Institusi Pengajian Tinggi #undang-undang #integriti #Kementerian Pendidikan #Parlimen #pendidikan #Malaysia #Maslee Malek #WAO #Pakatan Harapan #PH
;