Segerakan penubuhan universiti sukan di Malaysia

Bernama
Julai 30, 2024 15:15 MYT
Pekan Ramli berkata dengan adanya universiti sukan ini, ia mampu dijadikan sebagai tempat pemusatan kepakaran akademik yang membolehkan pelbagai kajian dan inovasi kreatif dalam bidang sukan dilaksanakan. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Penubuhan universiti sukan yang dicadangkan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) semalam dilihat sebagai langkah cukup tepat dalam memajukan lagi industri sukan di negara ini.
Penganalisis sukan Datuk Pekan Ramli berkata dengan adanya universiti sukan ini, ia mampu dijadikan sebagai tempat pemusatan kepakaran akademik yang membolehkan pelbagai kajian dan inovasi kreatif dalam bidang sukan dilaksanakan secara sistematik.
Beliau berkata universiti sukan itu boleh memberikan peluang kerjaya kepada bekas-bekas atlet untuk menyumbangkan kepakaran dimiliki mereka bagi membangunkan lagi sukan di Malaysia.
"Universiti sukan ini kalau kita lihat merupakan pemangkin kepada kejayaan negara-negara besar sukan di Asia seperti China, Korea Selatan dan Jepun.
"Atlet-atlet yang menyumbangkan pingat emas di temasya Olimpik untuk negara-negara ini kebanyakannya ialah graduan atau pelajar universiti sukan.
"Kejayaan mereka ini perlu dijadikan rujukan demi memajukan sukan tanah air, malah dengan adanya universiti sukan ini, kerjaya atlet selepas bersara juga akan terjamin kerana berpeluang untuk menabur bakti selain daripada menjadi jurulatih seperti kebiasaan.
"Saya rasa sudah tiba masanya untuk kerajaan menyegerakan penubuhan satu institusi pengajian tinggi yang memberi fokus kepada sukan.
"Kalau kerajaan boleh menubuhkan ASWARA (Akademi Seni dan Warisan Budaya) yang memberi tumpuan pada industri seni kreatif, kenapa tidak kepada sukan," katanya kepada Bernama hari ini.
Semalam, Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan universiti sukan yang dilihat bagi memastikan atlet pelapis terutamanya lepasan sekolah sukan terus berkecimpung dalam sukan sekali gus memastikan Malaysia tidak ketandusan bakat.
Dalam pada itu, Pekan berpendapat penubuhan universiti sukan di Malaysia boleh diwujudkan tanpa mewujudkan institusi pengajian tinggi yang baharu dengan menaik taraf kemudahan sekolah-sekolah sukan sedia ada.
"Ada orang cakap kalau kita nak tubuhkan universiti sukan ini, kena wujudkan satu universiti baharu, tetapi bagi saya tak perlu sebab kita perlu keluarkan kos yang tinggi.
"Jadi alternatif lain yang kita boleh buat, naik taraf sekolah-sekolah sukan atau tukar status mereka.
"Sebagai contoh, Sekolah Sukan Bukit Jalil ataupun Institut Sukan Negara yang mempunyai pelbagai kemudahan pembelajaran serta sukan bertaraf antarabangsa.
"Bagi saya, cadangan ini bukan sahaja menijmatkan kos tetapi kita beri peluang atlet sedia ada untuk sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.
-- BERNAMA
#universiti sukan #Pekan Ramli #Kesatuan Olahraga Malaysia #Shahidan Kassim
;