Segerakan pendaftaran Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0
Astro Awani
Disember 24, 2012 12:39 MYT
Disember 24, 2012 12:39 MYT
Segerakan pendaftaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0.
Ini kerana, kata Timbalan Menteri Kewangan , Datuk Dr Awang Adek Hussin, mereka yang layak mendapat BR1M 2.0 perlu mendaftar segera kerana proses pembayarannya dijangka bermula bulan depan.
Beliau turut memaklumkan, kerajaan tidak akan melanjutkan proses pendaftaran tersebut.
Menurut Awang Adek, mereka yang sudah menerima BR1M sebelum ini juga perlu mengemas kini maklumat jika ada sebarang perubahan termasuk pertukaran alamat .
Pembayaran BR1M akan dilakukan secara berperingkat mulai Januari ini dan dijangka selesai sebulan selepas itu.
Beberapa hari lalu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata lebih sejuta individu bujang yang layak menerima BR1M 2.0 masih belum mendaftar .
Justeru, agensi berkaitan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dicadangkan agar mengadakan kaunter pendaftaran bergerak bagi memudahkan golongan tersebut mendaftar.