Segerakan kerja membersih, dalamkan sungai di Janda Baik- Tengku Hassanal
Mohd Zalani Md Atan
Mei 14, 2022 19:50 MYT
Mei 14, 2022 19:50 MYT
KUANTAN: Kerajaan Pahang dengan Kerjasama Kementerian Sekitar dan Air (KASA) dititahkan supaya menyegerakan pelaksanaan kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai yang menjadi punca banjir kilat di sekitar Janda Baik, Bentong baru-baru ini.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bentong dan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di Bentong termasuk pembinaan Stesen Telemetri dan Stesen Amaran Banjir di huluan kawasan Janda Baik juga perlu disegerakan.
"Pahang sudah dilanda banjir sebanyak dua kali iaitu pada awal dan akhir tahun lalu diikuti beberapa siri kejadian banjir kilat disebabkan hujan yang amat lebat.
"Jadi, kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai bukan sahaja perlu dilakukan di kawasan Janda Baik, bahkan di semua sungai dan saliran cetek akibat mendapan di seluruh negeri," titah baginda melalui satu kenyataan pada Sabtu.
Baginda bertitah kerja-kerja pembersihan semua sungai dan saliran tersebut mesti dilaksanakan segera oleh kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan sebelum negara memasuki musim Monsun Timur Laut pada hujung tahun ini.
Pada 13 Mei lalu, baginda berkenan berangkat menziarahi mangsa banjir di kawasan Janda Baik bagi menghulurkan sumbangan.
Baginda juga turut melawat kawasan banjir dan mendengar persembahan taklimat tentang tindakan susulan segera tebatan banjir bagi mengurangkan risiko bencana itu.