Segera perbaiki jalan dan cerun di Gunung Jerai - Pengurus Resort

Astro Awani
Ogos 20, 2021 14:15 MYT
Mohd Salim menjelaskan, selain itu, masalah elektrik turut menyebabkan menara tekomunikasi di lokasi berkenaan tidak dapat beroperasi. - Foto Facebook
KUALA LUMPUR: Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta mempercepatkan proses pembaikan serta laluan bercerun kesan fenomena kepala air yang bermula di Gunung Jerai.
Pengurus Besar Jerai Hill Resort, Mohd Salim Sulaiman menjelaskan, selain itu, masalah elektrik turut menyebabkan menara tekomunikasi di lokasi berkenaan tidak dapat beroperasi.
"Keadaan resort tidak ada masalah, hanya jalan yang penuh dengan lumpur tetapi semalam sudah dibersihkan, laluan sudah dibuka dan boleh dilalui tetapi ada cerun yang perlu dibaiki Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Pelanggan kami tidak benarkan lagi sebab tiada elektrik, sudah putus. TNB ada dihubungi pagi tadi dan masih belum maklum bila boleh dibetulkan, masalah kami elektrik dan menggunakan generator. Telefon ini jika tiada generator tidak boleh digunakan, macam talian lain semua tiada.
"Harapan kami dipercepatkan baik pulih jalan dan elektrik, kita perlukan cepat. Kalau sudah diperbetulkan jalan, saya rasa tidak ada masalah, kita akan pulih," katanya semasa dihubungi pada Jumaat.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Bencana Gunung Jerai: Hampir RM5 juta peruntukan pulih kerosakan - KASA
BACA: 13 kakitangan pusat peranginan di Gunung Jerai berjaya turun
BACA: Bencana Gunung Jerai: Hampir RM5 juta peruntukan pulih kerosakan - KASA
Kejadian Kepala Air | Operasi menyelamat diteruskan
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar Haji berkata, seramai 13 daripada 19 kakitangan The Jerai Hill Resort, Gunung Jerai yang terkandas selepas laluan ke kaki gunung itu terputus akibat kejadian tanah runtuh petang Rabu, turun dengan selamat dari puncak gunung itu pada petang Khamis.
Kata Shahnaz, mereka turun dengan penyeliaan pihak JKR selepas satu lorong di laluan terputus itu dibuka pada 5 petang semalam.
Shahnaz berkata enam individu yang masih berada di puncak gunung itu difahamkan ditugaskan untuk mengawasi dan memantau keadaan pusat pelancongan tersebut.
Fenomena kepala air yang mencetuskan banjir di sekitar Yan dilaporkan berlaku pada kira-kira 5 petang, Rabu lepas dan setakat ini telah meragut empat nyawa.
#tanah runtuh #TNB #JKR #gunung jerai #polis #cerun #fenomena kepala air #Yan #erai Hill Resort #Mohd Salim Sulaiman
;