Segera lakukan pemeriksaan jika ada simptom, elak BID - Dr Annuar
Astro Awani
September 26, 2021 12:00 MYT
September 26, 2021 12:00 MYT
SIBU: Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dr Annuar Rapaee menegaskan orang ramai perlu menjalani pemeriksaan secepat mungkin sekiranya mempunyai simptom COVID-19 bagi mengelakkan kes brought-in-dead (BID).
Beliau yang juga Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu berkata, banyak kes sebegini berlaku ekoran keengganan pesakit berjumpa doktor walaupun telah mengalami simptom sekitar tiga hingga 10 hari.
"Satu lagi masalahnya sekarang ialah, orang yang ada simptom ini tak mahu pergi periksa, tak mahu berjumpa doktor, sampai tiga hari, sampai 10 hari.
"Dan akhirnya, mereka BID, dibawa sudah meninggal. Kita banyak kes seumpama ini," katanya di sini hari ini.
Jelas Dr Annuar, simptom tersebut mungkin hanya ringan pada mulanya namun ia boleh menjadi teruk dalam sekelip mata.
"Kita semua tahu apa simptom COVID, selesema, sakit tekak, hilang deria bau, rasa loya, cirit birit, badan lemah. Semua ini simptomnya.
"Kalau anda ada simptom ini, cepat-cepatlah berjumpa doktor. Jangan tunggu. Walaupun ia pada mulanya sangat ringan, tetapi ia boleh jadi teruk dengan cepat.
"Sebab itu ada sesetengah yang hanya tunggu di rumah sampai 10 hari, selepas itu, sudah terlambat. Dibawa ke hospital sudah meninggal," kata Dr Annuar.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan individu positif COVID-19 yang sedang menjalani kuarantin di rumah supaya mematuhi arahan yang diberikan kerana pihaknya menerima aduan ada yang tidak patuh, malah keluar rumah.
Katanya, individu yang melanggar arahan pihak berkuasa jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 dan hukuman penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.